PAU 2014: Realiti Kehidupan Rakyat Luar Bandar Perlu Diteliti

Diterbitkan: Jumaat, 28 November 2014 12:17 PM

Mohd Iskandar Jaafar.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti realiti kehidupan rakyat berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar dan tidak hanya berbangga dengan statistik berhubung peningkatan pendapatan isi rumah yang dikeluarkan agensi tertentu. 

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiu, Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar berkata hakikatnya, statistik itu tidak melambangkan kehidupan sebenar rakyat kerana masih ramai yang hidup kais pagi makan pagi.

"Walaupun kita sudah bekerja bertungkus lumus, kadang-kadang kita rasa sedih...tiba-tiba keluar dalam suratkhabar, di kaca televisyen, purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia meningkat RM5,900, amboi...

"Betullah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 kita kena ada statistik yang menunjukkan kita bergerak 'in progress' (di landasan yang betul) tetapi bila rakyat dengar mereka tanya pendapatan ini pendapatan siapa?," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Jumaat.

Mohd Iskandar menarik perhatian misalnya golongan penoreh getah di kawasan Setiu, yang masih ramai antaranya berpendapatan RM25 seminggu ekoran harga getah yang tidak menentu selain faktor cuaca.
 
"Di tempat saya hari ini, harga getah cukup teruk, ada pernah sampai RM1.60 sekilogram, semalam saya telefon di kampung tanya berapa harga getah hari ini, katanya RM1.70 sekilogram, seminggu motong (menoreh) getah tak dapat sampai RM50 pun.

"Makanya kita tidak boleh terlalu bergantung kepada statistik untuk nak meyakinkan kepada rakyat bahawa beban sara hidup mereka ini sudah dibantu," kata Mohd Iskandar. 

Pandangan sama turut disuarakan Ketua Umno Bahagian Kampar, Perak, Datuk Mohd Radzi Manan yang mahu kerajaan menambah baik pendekatan dalam meningkatkan taraf hidup Melayu dan Bumiputera di luar bandar. 

Mengambil contoh hasil keluaran padi yang bernilai hampir RM70 juta setahun, beliau mahu pendapatan dan keuntungan yang diperoleh disalurkan secara adil kepada petani yang terlibat.

"Katakan harga padi daripada petani sebanyak RM600 satu tan dan bila ditolak ke pasaran harganya menjadi RM3,000. Nilai tambah kira-kira RM2,000 itu siapa yang dapat? Bukan kita Bumiputera. Saya minta kita fikirkan perkara ini," tegasnya. 

Menyifatkan golongan Melayu dan Bumiputera sebagai 'simpanan tetap' sebenar bagi Umno, Mohd Radzi berkata golongan itulah yang sepatutnya diberi perhatian, berbanding Melayu di bandar yang seakan-akan telah menjauhi parti itu. 

"Akar umbi kita di luar bandar masih kuat. Mereka ini kalau lari, tentu kita kalah," katanya.
Tags / Kata Kunci: PAU 2014

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan