PAU 2014: Kerajaan Perlu Pastikan Hasil GST, Subsidi Untungkan Rakyat

Diterbitkan: Jumaat, 28 November 2014 10:59 AM

Orang ramai tekun mengikuti perbahasan usul ucapan dasar presiden pada PAUmno 2014 di PWTC di sini, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya tidak membazirkan hasil yang diperoleh daripada pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta penjimatan daripada pemansuhan subsidi bahan api.

Perwakilan Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, kerajaan akan dipersalahkan jika hasil penjimatan itu digunakan bagi tujuan yang tidak menguntungkan rakyat.

"Kita minta hasil daripada GST dan penjimatan subsidi minyak dan diesel yang kononnya hampir RM30 bilion itu digunakan betul-betul kepada rakyat.

"Rakyat nak tahu macam mana duit itu digunakan, berapa peratus yang rakyat akan dapat daripada penjimatan tersebut," katanya di sini, Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Jabi berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014.

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda Umno Setiu itu turut memberi peringatan kepada kerajaan supaya tidak melaksanakan projek pembangunan yang hanya menguntungkan kontraktor.

"Nanti kerajaan akan jawab kita akan bina itu, kita akan buat ini dan laksanakan itu. Sudahnya duit itu pergi kepada siapa?

"Kalau buat bangunan besar-besar, projek besar-besar...kontraktor juga dapat. Kalau buat program besar sudahnya nanti ada ketirisan dan kebocoran juga," katanya sambil disambut tepukan perwakilan.

Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya hanya berpuas hati dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedangkan proses transformasi ekonomi yang diuar-uarkan kerajaan tidak dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.

"Rakyat tertanya-tanya dengan transformasi ekonomi ini, apa yang mereka akan dapat? Adakah cukup dengan RM950 (BR1M) itu?

"Kalau pembangkang buat kira-kira dibahagi dengan setahun...dapat hanya beberapa ringgit kita akan marah. Tapi itukah sebenar hakikatnya," tegas beliau.


Tags / Kata Kunci: Mohd Iskandar Jaafar , diesel , GST , PAU

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan