Urus Tadbir Dan Pengurusan Kewangan Kelantan Setanding Negeri Lain

Diterbitkan: Khamis, 27 November 2014 2:50 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Sijil Audit Bersih yang dikeluarkan setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara kepada kerajaan negeri Kelantan membuktikan urus tadbir dan pengurusan kewangannya setanding dengan negeri lain.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata pada tahun lepas, semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini turut mendapat Sijil Audit Bersih daripada Ketua Audit Negara.

Beliau berkata sejak 2011 beberapa pejabat dan agensi kerajaan negeri telah diberi anugerah empat bintang oleh kerajaan persekutuan dalam Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan.

"Sembilan jabatan dan agensi kerajaan menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Empat Bintang daripada Ketua Audit Negara pada 2011, diikuti enam pada 2012 dan lapan baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan akhbar yang memetik Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai berkata kegagalan kerajaan Kelantan pimpinan PAS mengurus kewangan negeri bukan suatu yang baharu tetapi berlaku sekian lama.

Mohd Faudzi berkata anugerah empat bintang adalah anugerah tertinggi yang diberi oleh Jabatan Audit Negara berdasarkan Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan pejabat-pejabat kerajaan seluruh Malaysia.

Bagaimanapun beliau mengakui berlaku defisit dalam pengurusan kewangan negeri memandangkan belanja mengurus meningkat setiap tahun sedangkan punca-punca kewangan negeri terhad dan prasarana yang boleh memangkinkan pertumbuhan ekonomi negeri juga belum sempurna.

"Perbelanjaan defisit adalah perkara yang berlaku kepada hampir semua kerajaan negeri di Malaysia," katanya.

Tags / Kata Kunci: Kelantan , Audit

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan