PAU 2014: Baca Fikiran Rakyat Senjata Menang PRU-14

Diterbitkan: Khamis, 27 November 2014 11:09 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bukan menjadi ahli nujum, tetapi menyelami hati dan fikiran rakyat dilihat mampu menjadi senjata paling berkesan untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bangkit dengan penuh maruah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Malahan, mulai sekarang, perwakilan Umno yang juga barisan kepimpinan parti di peringkat akar umbi perlu mengatur langkah mendekati rakyat untuk mengetahui apa yang terpendam dalam sanubari mereka.

Sentuhan peribadi setiap pemimpin itu jugalah yang boleh menjadikan sesuatu yang mencabar itu ditangani dengan mudah jika senjata yang diguna pakai tepat dan terbaik.

Dalam dunia serba mencabar ini terutama dalam berhadapan 'peperangan politik' semasa, sudah pasti semangat juang sahaja tidak cukup, sebaliknya usaha dan tindakan tanpa henti perlu untuk menjamin kejayaan cemerlang.

Perkara ini dilontarkan Naib Ketua Umno Bahagian Rasah, Datuk Abdul Karim Mustafa yang menganggap formula penting itu telah disampaikan secara jelas oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam taklimatnya kepada perwakilan pada Selasa lalu.

"Kita kena terjemahkan mesej ini kerana kita yang tahu cuaca politik di bawah, siapa yang betul-betul diterima masyarakat (calon) dan penerimaan akar umbi termasuk mengetahui apakah kemahuan mereka.

"Moto Umno adalah Bersatu, Bersetia, Berkhidmat maka semuanya adalah mengenai kerja yang diterjemahkan kepada khidmat untuk rakyat," katanya kepada mStar Online.

Abdul Karim berkata, maklum balas dan penerimaan rakyat itu kemudiannya perlu disampaikan kepada pucuk pimpinan negeri dan seterusnya kepada pemimpin tertinggi, yang menjadi asas dan amalan parti sejak dahulu.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ini berkata, BN kehilangan banyak kerusi dan majoriti kurang daripada dua pertiga pada PRU-13 yang lalu, tetapi apa yang membimbangkan ialah pasca pilihan raya itu menimbulkan persepsi yang boleh meruntuhkan keyakinan orang Umno sendiri dan orang-orang di luar parti.

"Bagaimanapun kita sebenarnya tidak seharusnya bertindak balas kepada isu semata-mata. Kita terlampau berorientasikan isu. Ini yang juga berlaku pada perwakilan ketika membahaskan hujah mereka.

"Setiap isu kita mahu tangani tetapi sampaikan ada yang tidak ditangani. Kita hanya fokus pada isu semata-mata. Tapi kita sebenarnya perlu berlandaskan khidmat kerana itulah yang rakyat mahukan," katanya.

Sehubungan itu katanya, jentera parti perlu yakin untuk bekerja bersungguh-sungguh dan sentiasa 'kelihatan' dalam masyarakat.

"Kita kena menjuarai isu Melayu, Bumiputera dan Islam yang merupakan paksi kita. Dan selepas itu kita nak menang di kalangan orang Umno dan di luar parti. Apa yang Umno hendak bawakan.

"Dalam masa yang sama, perwakilan juga perlu memikirkan bukan setakat mendapatkan sokongan semata-mata tetapi perlu juga orang luar iaitu orang Melayu di dalam dan luar Umno, kaum Cina di dalam MCA dan orang India di dalam MIC.

"Selepas memberi khidmat kepada ahli, kita juga bertanggungjawab memberi khidmat kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Tambahnya, semua pihak dalam Umno perlu membuktikan bahawa parti bukan sahaja juara kepada isu Melayu dan Islam tetapi juga paksi kerajaan yang mewakili masyarakat.

"Sekàrang banyak sentimen yang dimainkan seperti kedaulatan Raja-Raja Melayu, kesucian agama Islam yang tidak pernah disentuh. Sebab itu kita hendak jaga supaya isu ini tidak dimainkan sehingga terlampau sangat.

"Ini kerana bila dimainkan isu-isu ini, ia akan mengakibatkan perhatian perkauman dan suasana politik yang tidak sihat secara berterusan," katanya.

Selain khidmat kepada rakyat, Abdul Karim berkata, parti juga perlu mempunyai calon yang baik dengan masyarakat, mempunyai imej yang bersih dan 'sellable' iaitu diterima oleh akar umbi.

"Oleh itu, perwakilan diminta supaya melihat Perhimpunan Agung Umno kali ini bukan sahaja menjadi pentas untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tetapi juga semangat jentera untuk meraih sokongan semua.

"Saya percaya dengan gabungan padu ini yang berlandaskan khidmat, kita Umno dan BN akan memperoleh kemenangan pada PRU-14 yang akan datang," katanya. 


iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan