PAU 2014:Wanita Umno Serius Tuntut Naib Presiden Ke-4

Diterbitkan: Rabu, 26 November 2014 2:20 PM

Gelagat beberapa perwakilan Wanita Umno yang bersemangat menyokong ucapan Shahrizat pada persidangan pergerakan itu sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di PWTC di sini, Rabu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suasana dalam Dewan Merdeka bertukar gamat seketika apabila ketua pergerakan Wanita Umno mengulangi gesaan supaya kepimpinan parti memberi ruang untuk ahlinya membuktikan keupayaan dengan mewujudkan satu lagi kerusi Naib Presiden.

Kata-kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu diiringi tepukan gemuruh dan sorakan tanda sokongan 993 perwakilan pergerakan itu yang hadir pada persidangan sayap berkenaan, Rabu.

Mempelihatkan kesungguhannya, pemimpin tertinggi pergerakan itu juga mahu saranan itu disenaraikan antara perkara yang akan dipertimbangkan apabila pindaan Perlembagaan parti dilaksanakan, lebih-lebih lagi selepas ahli sayap itu diiktiraf sebagai tulang belakang parti dengan keahlian setakat ini mencapai 1,330,926.

Shahrizat berkata, cadangan tersebut juga mendukung kehendak Fasal 3.4 Peraturan pergerakan itu untuk membangunkan wanita ke arah mencapai 30 peratus wanita dalam bidang pembangunan dan pembuat dasar negara.

“Saya menerima cadangan daripada 171 Wanita Umno Bahagian dan 12,483 Wanita Umno Cawangan yang mengusulkan peruntukan satu tempat tambahan khas diberikan kepada Wanita Umno bagi jawatan Naib Presiden (3+1) melalui mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian tahun ini.

"Doa saya, selaku Ketua Wanita Umno, supaya titik sejarah mengarusperdanakan golongan wanita ditempat membuat keputusan akan berlaku semasa kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Timbalan Presiden. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar ketua Wanita Umno pada persidangan pergerakan itu sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Rabu.

Shahrizat juga yakin pucuk pimpinan Umno akan membuat keputusan yang bijaksana mengenai cadangan tersebut apabila Perlembagaan Umno dipinda.

"Selama enam dekad Wanita Umno telah menjalankan peranan penting dalam menentukan keutuhan dan kestabilan parti. Kesungguhan kita sebagai nadi parti, berkhidmat dengan penuh amanah dan kesetiaan diibaratkan lilin membakar diri menerangi orang lain dalam memperjuangkan agenda parti,” katanya sambil menambah ahlinya layak diiktiraf sebagai Srikandi Negara.

Dalam ucapan yang sama, Shahrizat juga memberi amaran kepada ahlinya supaya tidak menjadi 'gunting dalam lipatan' atau cuba menidakkan ketetapan dan kesetiaan ahli pergerakan itu terhadap kepimpinan tertinggi parti.

"Kita akan terus memberi kekuatan dan sokongan kepada Presiden Umno merangkap Perdana Menteri supaya beliau dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan tenang tanpa perlu menoleh ke belakang," katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan