PAU 2014: Pemuda Tuntut 45 Peratus Kerusi PRU-14

Diterbitkan: Rabu, 26 November 2014 9:45 PM

Sahrihan Jani

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno menuntut sebanyak 45 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diberikan kepada golongan muda.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Sahrihan Jani berkata, tuntutan itu dibuat sebagai usaha meremajakan parti yang perlu disegerakan.

Katanya, pihak pembangkang dilihat jauh ke hadapan dalam mengetengahkan ikon-ikon muda tetapi malangnya ia tidak diamalkan oleh Ummo.

"Masa kita kecil, dialah ketua cawangan (Umno)... masa kita remaja, dia juga ketua cawangan, dan bila kita sudah besar, asyik-asyik dia saja (jadi ketua cawangan).

"Justeru itu, kita menyeru kepada pemimpin-pemimpin Umno supaya lebih terbuka dan menerima hakikat mengenai perubahan dalam landskap politik negara.

"Kita minta kuota calon sebanyak 45 peratus diberikan kepada anak-anak muda sama ada kepada Pemuda atau Puteri," katanya yang mewakili Johor bagi membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada perhimpunan sayap parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Sahrihan bagaimanapun berkata, anak muda yang dipilih perlu terdiri daripada calon boleh menang atau 'winnable candidate' malah mampu bekerja dan berjuang untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada masa akan datang.

Katanya, terdapat pemimpin-pemimpin Umno bercakap bahawa mereka telah memilih calon 'winnable candidate' tetapi sebenarnya adalah 'win cable' atau calon yang menggunakan pengaruh dengan pihak atasan parti untuk dipilih.

"Akhirnya 'win cable' ini terpilih sebagai calon tetapi malangnya gagal bekerja dan bertindak sebagai Yang Berhormat yang baik. 'Win-cable' ini tidak melalui proses dalam 'sekolah Umno' tapi syok sendiri.

"Sehubungan itu, pada PRU-14 kita mahu kuota itu bukan sahaja untuk Pemuda dan orang muda tetapi biarlah calon itu 'winnable' yang sebenar-benarnya 'win-worth' (layak menang) dan bukannya 'win-cable'," jelas Sahrihan.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam penggulungan meluahkan kekecewaan terhadap pihak yang mendakwanya sebagai rasis apabila bercakap tentang agenda Melayu.

"Macam sekolah vernakular, saya sudah katakan kita sudah terima aliran ini, saya hanya katakan komitmen terhadap perpaduan negara menerusi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan," katanya katanya.

Sebuah portal berita pada Rabu melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Khairy sebagai rasis apabila Ketua Pemuda Umno itu menyuarakan tentang agenda Melayu dalam ucapan dasarnya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, dakwaan itu turut berlaku apabila beliau menyebut tentang Akta Hasutan.

"Tentang Akta Hasutan, saya katakan apa yang kita perlukan sekarang adalah perisai sebagai pelindung bukan sahaja untuk orang Melayu tapi juga untuk semua kaum lain.

"Bila saya sentuh tentang keistimewaan orang Melayu pun dikatakan rasis. Saya teramat kecewa mengenai perkara ini," katanya dengan nada kesal.

Tags / Kata Kunci: Pemuda Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan