PAU 2014: Wanita, Puteri Umno Minta Kerajaan Lebih Prihatin Nasib Melayu Pulau Pinang

Diterbitkan: Rabu, 26 November 2014 4:57 PM

Tapak perkampungan Melayu yang 'dirampas' untuk melaksanakan projek pembangunan di Pulau Pinang. Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wakil pergerakan Wanita dan Puteri Umno Pulau Pinang senada apabila masing-masing menyuarakan kebimbangan terhadap nasib orang Melayu di negeri itu terutama dalam mempertahankan hak dan menangani kos sara hidup tinggi.

Walaupun bersidang di dua dewan berasingan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kedua-dua sayap parti ini menampakkan kematangan apabila mengutarakan masalah yang dihadapi penduduk negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat itu.

Ketua Wanita Umno Bahagian Batu Kawan, Rohaya Abu Ismail menggesa supaya peruntukan baharu diwujudkan untuk melindungi penempatan Melayu yang dirampas sedikit demi sedikit oleh kerajaan DAP di negeri itu.

Malahan, beliau mendedahkan, kaum Melayu diusir dari penempatan Melayu di Balik Pulau kerana kerajaan negeri yang memerintah mahu golongan bukan Melayu untuk membeli hartanah di kawasan itu.

"Saya ingin mencadangkan Akta Penempatan Melayu bagi mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai tapak warisan dan melindunginya daripada dijual untuk tujuan pembangunan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar ketua Wanita Umno pada sidang sayap itu di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Menurut Rohaya, kelibat golongan bukan Melayu terutamanya kaum Cina dilihat lebih ramai mendiami kawasan penempatan Melayu pada hari ini.

"Sebelum ini, susah kita nak tengok kaum lain berniaga di kawasan tersebut kerana ia dikuasai kira-kira 90 hingga 95 peratus kaum Melayu. Hari ini keadaan jauh berbeza," katanya.

Beliau berkata, nilai hartanah di Pulau Pinang pula melonjak sehingga 300 peratus, misalnya rumah teres di Balik Pulau mencecah hampir RM1 juta seunit.

Rohaya turut memberitahu sidang itu bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut menetapkan beberapa syarat apabila kerajaan Persekutuan mahu berbincang untuk membina sebanyak 20,000 rumah mampu milik di negeri itu.

"Saya percaya dia bimbang orang Melayu akan kembali ke negeri itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Jelutong, Siti Azmeera Mohd Azmi yang mengetengahkan isu sama berkata, golongan Melayu bandar di negeri itu kurang mendapat perhatian kerajaan dan semakin terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos.

"Mohon kerajaan tengok-tengokkan kami sama di Pulau Pinang...Melayu Pulau Pinang setia sokong Umno, Melayu Pulau Pinang makin terhimpit dengan kos yang tinggi.

"Selama sepenggal lebih bersama DAP, orang Melayu di Pulau Pinang terus dizalimi. Surcaj air dinaikkan, cukai pintu akan dinaikkan dan lesen penjaja kecil dinaikkan 100 peratus," katanya.

Dalam perbahasannya juga, beliau turut menyentuh tentang masalah yang dihadapi wanita muda berkeluarga dan pada masa sama mahu memulakan kerjaya.

Justeru, beliau menyarankan supaya kerajaan memperbanyakkan pembantu rumah terlatih dan pusat asuhan berdaftar bagi membolehkan golongan wanita muda meneruskan kerjaya.

"Kerajaan juga boleh memperbanyakkan peluang kerjaya dari rumah, contohnya, memasukkan data, pengiklanan dan pembangunan laman web.

"Kalau negara lain boleh buat, kenapa kita tak boleh," katanya.


Tags / Kata Kunci: Umno , Pulau Pinang , Puteri , Rohaya Abu Ismail

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan