Letupan Lombong: Enam Mangsa Cedera Diterbangkan Ke Hospital Di Semenanjung

Diterbitkan: Selasa, 25 November 2014 1:12 PM

Lombong arang batu di Selantik, Pantu dekat Sri Aman. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Enam mangsa yang parah dalam kejadian letupan lombong arang batu di Sri Aman pada Sabtu lalu diterbangkan ke hospital pakar di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur, Selasa.

Pengarah Perubatan Sarawak, Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata dua mangsa rakyat Korea yang dikenali sebagai Sin Chol Ju dan Yang Chol Jin dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyyah di Alor Setar.

Tiga lagi mangsa iaitu warga Indonesia Abdul Salam dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Mohd Zainuddin yang juga warga Indonesia ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, warga Myanmar Aung Min Htut ke Hospital Kuala Lumpur sementara seorang lagi warga Indonesia, Triono dihantar ke Hospital Kuala Terengganu.

"Kami terpaksa merujuk mereka ke hospital-hospital berkenaan kerana kami tidak memiliki pakar merawat kecederaan kebakaran yang mencukupi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata mereka sebelum itu merupakan antara 21 mangsa yang dirujuk ke Hospital Umum Sarawak sebaik kejadian berlaku yang turut mengorbankan tiga pekerja asing yang lain.

Dr Zulkifli berkata dua lagi mangsa telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Isnin.

Sejumlah 30 mangsa yang kebanyakannya warga asing dimasukkan ke hospital setelah terowong di lombong tempat mereka sedang bekerja meletup.

"Sesetengah mangsa sedang pulih dan boleh berjalan dan boleh dibenarkan keluar daripada hospital beberapa hari lagi," kata beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan