PAU 2014: Wanita Umno Anggap Parti Lain Lebih Iktiraf Kaum Hawa

Diterbitkan: Selasa, 25 November 2014 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pergerakan Wanita Umno berpandangan parti lain termasuk pembangkang lebih mengiktiraf pembabitan kaum hawa dalam bidang politik berdasarkan barisan kepimpinan tertingginya.

Ketika ini, dua parti yang masing-masing memberi mandat serta kepercayaan kepada wanita untuk jawatan Naib Presiden adalah parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA yang melantik Datin Paduka Chew Mei Fun, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula diwakili Nurul Izzah Anwar.

Sambil menamakan kedua-dua parti berkenaan, Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari berkata, seharusnya Umno mengikut langkah positif parti berkenaan bagi menjamin kelangsungan parti agar terus relevan dan tidak ketinggalan.

Beliau turut menegaskan, gesaan pergerakan itu supaya diwujudkan jawatan Naib Presiden keempat parti khusus untuk ahlinya bukan berniat merampas kerusi sedia ada, tetapi menambah satu lagi kerusi untuk jawatan itu.

"Kita bukan mahu menggugat kerusi sedia ada, tapi kita minta pertimbangkan untuk wujudkan kerusi tambahan bagi jawatan Naib Presiden yang akan ditandingi dalam kalangan Wanita Umno.

"Sekarang ini, jawatan Naib Presiden PKR pun turut diberikan kepada golongan wanita, MCA juga begitu. Malah jawatan Presiden PKR juga dipegang wanita. Kenapa Umno tak nak beri pengiktirafan kepada golongan wanita?," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Jelas beliau lagi, cadangan berkenaan sebelum ini mendapat sokongan sebanyak 89 peratus atau 171 daripada 192 bahagian Wanita Umno di seluruh negara.

"Sudah tiba masanya kepimpinan tertinggi mempertimbangkan cadangan untuk meletakkan wanita sebagai naib presiden atau setidak-tidaknya naib ketua bahagian. Saya yakin wanita boleh membantu kepimpinan tertinggi memacu parti ini untuk terus mara," katanya.

Rosni berkata, tidak timbul sebarang keistimewaan untuk kerusi tambahan itu kerana pemilihan penyandang untuk jawatan itu akan ditentukan menerusi suara ramai parti pelbagai peringkat.

"Calon tersebut akan dipilih oleh semua ahli pelbagai peringkat sama ada di bahagian atapun cawangan, bukannya melibatkan undian ahli Wanita Umno sahaja," katanya sambil menambah keahlian pergerakan itu adalah yang paling ramai iaitu mencecah 1.3 juta.

Menurut beliau, gesaan itu bertepatan dengan peranan Wanita sebagai tulang belakang atau ibu kepada parti seperti yang diisytiharkan Perdana Menteri yang juga presiden parti, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno ke-67 tahun lalu.

"Selepas diiktiraf sebagai tulang belakang parti, pemberian jawatan Naib Presiden akan menjadikan Wanita Umno lebih bersemangat dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Malah ia juga akan menjamin kesinambungan parti," katanya.

Rosni yang juga Ketua Wanita Umno Pahang berkata, usul itu tidak akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno pada kali ini tetapi ia telah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi untuk dipertimbangkan.






Tags / Kata Kunci: Wanita Umno , PKR , MCA , Naib Presiden , Rosni Zahari

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan