Adun Bangi Dipilih Timbalan Speaker DUN Selangor Yang Baharu

Diterbitkan: Isnin, 24 November 2014 10:46 AM

Mohd Shafie Ngah

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Mohd Shafie Ngah dipilih menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.

Keputusan itu sekaligus mengenepikan pencalonan Adun DAP dari kawasan Sekincan, Ng Sue Lim bagi merebut jawatan berkenaan.

Mohd Shafie memperoleh 28 undi mengalahkan Ng yang mendapat 14 undi.

Terdapat satu undi rosak dalam pemilihan yang dibuat menerusi kaedah undi sulit itu.

Bagaimanapun 12 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang hadir pada mesyuarat ketiga penggal kedua DUN Selangor yang ke-13 itu mengambil sikap berkecuali apabila tidak turut serta dalam proses pengundian.

Pendirian wakil rakyat BN itu dinyatakan Adun Sungai Burong yang juga Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata, perkara itu terpulang kepada wakil rakyat BN yang enggan terlibat dalam pemilihan jawatan tersebut.

Kerusi timbalan speaker DUN sebelum ini kosong berikutan penyandangnya, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco).

Tags / Kata Kunci: Adun Bangi , timbalan speaker , DUN Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan