Terengganu Beri Bantuan Ihsan RM500 Kepada Keluarga Terlibat Banjir

Diterbitkan: Sabtu, 22 November 2014 8:42 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan memberi bantuan ihsan segera sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terbabit dengan banjir.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM750,000 untuk diagihkan kepada 1,561 keluarga membabitkan 6,255 mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan di lima daerah iaitu Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut.

"Bantuan awal itu akan disalurkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang bagi meringankan beban mangsa menghadapi bencana itu.

"Selain bantuan kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan menyalurkan sumbangan sama kepada semua keluarga terbabit," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat banjir daripada MK NTerengganu di sini, hari ini.

Bantuan ihsan itu akan diberikan kepada setiap keluarga yang berdaftar di pusat pemindahan.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga akan mengkaji bentuk bantuan lain yang diperlukan oleh mangsa banjir seperti keperluan persekolahan anak-anak.

Mengenai banjir di beberapa daerah termasuk Kuala Nerus, beliau berkata ia disebabkan kadar air terlalu banyak iaitu sehingga 560 mililiter (ml) setelah hujan berterusan dalam tempoh 24 jam berbanding kadar purata 400 ml sebulan.

Hujan lebat itu adalah yang kedua berlaku di negeri selepas 1988 yang menyaksikan penerimaan hujan sehingga 600 ml dalam masa 24 jam hingga menyebabkan banjir, katanya.

Ahmad Razif bagaimanapun mengakui antara punca banjir besar di Kuala Nerus sejak dua hari lepas ialah sistem perparitan dan kawasan takungan air yang tidak sempurna.
 
"Kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan khususnya sekitar Gong Badak yang sistem perparitannya akan dibaii oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
bagi mengelak banjir kilat," katanya.

Banjir yang melanda negeri ini terutamanya di daerah Kuala Nerus dan mukim Gong Badak pada Khamis lepas turut menyaksikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil cuti darurat sehari berikutan kawasan universiti itu dinaiki air sehingga satu meter.

Banjir juga menyebabkan kira-kira 6,000 mangsa dipindahkan ke 54 pusat pemindahan di Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut.



Tags / Kata Kunci: bantuan ihsan banjir , RM500 , Terengganu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan