PAU 2014: Tugasan Penting Perwakilan Bawa Suara Akar Umbi

Diterbitkan: Jumaat, 21 November 2014 9:12 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 yang bakal membuka tirainya minggu depan dilihat sebagai tugasan penting bagi setiap perwakilan untuk membawa hasrat dan suara akar umbi parti.

Dalam suasana politik semasa, pastinya cabaran yang dihadapi Umno dalam pelbagai bentuk dan ia seharusnya didepani dengan penyatuan serta pengukuhan dalam parti sebagai benteng untuk menepis sebarang serangan untuk mempertahankan hak orang Melayu.

Naib Ketua Umno Bahagian Rasah, Datuk Abdul Karim Mustafa ketika ditanya pandangannya berhubung peranan perwakilan parti berkata, PAU tidak boleh dialihfokuskan kepada soal luaran yang hanya akan membuatkan isu asas bertukar menjadi isu sambilan.

"PAU 2014 perlu lebih terarah kepada asas perjuangan Umno itu sendiri yang berpaksikan perjuangan sosio ekonomi, survival pendidikan anak bangsa, kedaulatan undang-undang  dan kedaulatan institusi raja-raja serta memartabatkan agama dan syiar Islam.

"Asas ini yang perlu diperjuangkan kerana ia semakin diganggu gugat oleh anasir luar," katanya kepada mStar Online.

Malah, Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu menambah, Umno tidak lagi boleh berpaksikan kepada asas berteraskan isu kerana ia harus berterusan dan berteraskan parti yang berlandaskan perkhidmatan.

"Hanya dengan fokus yang lebih terarah sebegini Umno akan terus dihormati kerana memperjuangkan dan menjuarai kehendak akar umbi. Malah untuk kekal relevan, Umno harus terus berupaya mencakna setiap agenda bangsa dengan lebih berani dalam hala tuju dimensi barunya menjelang Pilhan Raya Umum ke-14," katanya.

Bagi pemimpin di peringkat bahagian ini, berdasarkan iklim politik semasa, dijangkakan perwakilan PAU 2014 lebih banyak menjurus kepada soal mempertahankan kesucian agama Islam berikutan timbulnya isu semasa seperti transgender sebagai contoh terkini, yang diadili di Mahkamah Rayuan.

"Liberalisme berbahaya kerana ia boleh membawa kepada perpecahan dan perbelahan," katanya.

Selain itu, Abdul Karim berkata,  perwakilan juga akan lebih fokus kepada soal mempertahankan atau tidak Akta Hasutan dan yang serupa dengannya, kerana ini telah lama dibahaskan di akar umbi sejak dari persidangan cawangan dan mesyuarat perwakilan bahagian.

"Oleh itu, teguran atau sebagainya dari rakan komponen jangan pula dijadikan topik utama. Menyentuhnya, biarlah dari pihak presiden yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) dan pimpinan tertinggi lain," katanya.

Berbalik kepada asas perjuangan Umno, tegas beliau lagi, pentas PAU yang terbaik untuk membawa hasrat akar umbi dari cawangan dan bahagian, untuk pejuang Umno bersuara lantang mempertahankan asas utama parti.

Katanya, selagi asas perjuangan itu tidak lari dan selagi ia berada dalam ruang lingkup perjuangan Umno yang menjadi teras kekuatan BN dan kerajaan, bangsa lain atau pemimpin parti lain seharusnya lebih terbuka untuk menerima dan menghormati pandangan perwakilan Umno.

Apabila diminta menyentuh mengenai teguran pemimpin MCA supaya perwakilan Umno berhati-hati ketika berhujah supaya tidak menyinggung perasaan rakyat pelbagai kaum di negara ini, Abdul Karim menyuarakan pandangannya yang wajar diberi perhatian.

Tegasnya, Umno tidak perlu melayan pencuri perhatian, sebaliknya lebih baik perwakilan melaksanakan tugas dan fokus kepada agenda perjuangan kerana perkara yang dibincang dan dibahaskan dalam PAU inilah saban tahun kelak akan menjadi sebahagian daripada isu yang akan digarap dan akhirnya digubal sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan.

Bagi wakil rakyat generasi muda, Exco Pemuda Umno, Anuar Abd Manap pula, PAU adalah medan di mana perwakilan boleh berbicara apa sahaja berkaitan parti termasuk soal agama, kepentingan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan yang menjadi hak mutlak untuk dibahaskan.

"Jadi, perwakilan semua jangan takut dan jangan peduli kerana inilah masa kita untuk berbicara lantang," katanya yang turut menggariskan beberapa isu semasa yang akan diketengahkan pada PAU nanti.

Bagi Ahli Parlimen Sekijang ini, antara isu yang bakal mendapat perhatian adalah sekolah vernakular, Akta Hasutan, peremajaan parti, kos sara hidup, tanah rezab Melayu, pengangguran dan survival graduan serta transgender.

Bagi Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, secara ringkasnya berpandangan perwakilan PAU wajar bersuara untuk menyatakan pendirian bagi menjawab sebarang isu yang ditimbulkan.

"Bagaimanapun, perwakilan perlu ingat mereka tidak boleh kata apa sahaja sesuka hati terutama membabitkan teguran sesama rakan dalam BN.

"Hormat-menghormati adalah asas perpaduan BN, malahan semangat setiakawan dalam komponen BN tidak pernah luntur," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Masjid Tanah ini, ia adalah antara keunikan yang tersemat dalam BN yang sudah semestinya tiada dalam Pakatan Rakyat.

Tags / Kata Kunci: PAU , Umno , Abdul Karim Mustafa , Melayu

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan