Isu Pesawat Malang MAS & Militan IS Jadi Perhatian Dialog Khas Jasa

Diterbitkan: Jumaat, 21 November 2014 7:09 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isu dua pesawat malang Malaysia Airlines (MAS) dan pengaruh kumpulan militan dikenali sebagai IS menguasai dialog khas Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bersama Kelab Pewarta Luar Negeri (FCC) di sini malam Khamis.

Isu lain yang menimbulkan minat wakil media asing di sini ialah isu keselamatan di Sabah, langkah yang diambil kerajaan Malaysia untuk membanteras rasuah, debat berkaitan Akta Hasutan 1948 dan tragedi banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands. 

Mereka juga membangkitkan masalah yang dihadapi ketika mengumpulkan maklumat semasa sidang akhbar mengenai kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370 dan Ketua Pengarah JASA Datuk Fuad Hassan berkata perkara itu berlaku kerana kekurangan pengalaman dalam mengendalikan peristiwa seperti itu.

"Ya, kami kurang bersedia semasa kehilangan pesawat MH370. Kami tidak mempunyai pengalaman (bagaimana hendak mengendalikan keadaan itu) kerana ia perkara baharu bagi kami. Kami perlu mengadakan sidang akhbar dan ia adalah kali pertama kami berhadapan dengan jumlah media yang begitu ramai.

"Bagaimanapun, kami belajar daripada pengalaman dan saya fikir tindakan kami lebih baik semasa berhadapan tragedi MH17 tetapi masih ada sempadan yang kami perlu pertahankan kerana kami memikirkan sentimen keluarga mangsa, " katanya.
 
Fuad juga berkata Kerajaan Malaysia sedar bahawa media mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan maklumat kepada pembaca dengan berpegang kepada konsep kebebasan media tetapi JASA juga mengharapkan penulisan berita yang bertanggungjawab.

Sementara itu Presiden FCC Shannon Teoh memuji JASA kerana menganjurkan sesi dialog itu untuk memberikan mereka satu platform untuk membangkitkan isu dan masalah yang menyentuh wartawan media asing di negara ini.

"Adalah jarang kami dapat bertemu agensi kerajaan dalam suasana mesra dan selesa seperti malam ini dan saya berharap ini akan menjadi satu titik permulaan untuk satu kerjasama yang lebih baik di masa hadapan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan