Malaysia Perlu Ramai Parakaunselor Atasi Penyakit Sosial - Rohani

Diterbitkan: Khamis, 20 November 2014 3:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluargadan Masyarakat mahu lebih ramai parakaunselor berdaftar di bawah kementerian berkenaan bagi memberi khidmat kaunseling kepada masyarakat. 

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pada masa ini hanya terdapat lebih 5,000 parakaunselor yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) dan jumlah itu tidak mampu memenuhi keperluan 30 juta rakyat negara ini.

"Dengan populasi rakyat Malaysia yang semakin meningkat serta dibebani pelbagai penyakit sosial dan psikologi, kementerian melihat betapa pentingnya keperluan parakaunselor yang terlatih untuk mengurangkan beban pakar kaunseling sedia ada.

"Sebab itu, kita mahu menggalakkan lebih ramai orang awam menjadi parakaunselor dengan berkhidmat sebagai kaunselor sukarelawan bagi memudahkan kementerian menyumbang khidmat kaunseling dengan lebih efektif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kecemerlangan Usahawan Wanita Wilayah Persekutuan 2014, pada Khamis.

Rohani berkata dengan adanya parakaunselor, ia berpotensi mengatasi masalah seperti gejala buli dalam kalangan pelajar, penderaan kanak-kanak, masalah rumahtangga serta tekanan hidup yang semakin berleluasa.

Katanya orang ramai yang berminat menjadi parakaunselor perlu mendapatkan latihan kemahiran asas kaunseling di bawah Institut Sosial Malaysia sebelum boleh memberi khidmat kepada masyarakat.

Mengenai forum berkenaan, Rohani berharap ia mampu merangsang aktiviti keusahawanan yang dapat melahirkan usahawan wanita berilmu dan mampu bersaing diperingkat tempatan dan antarabangsa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan