Cameron Highlands: Saya Sedia Beri Penjelasan Kepada Sultan - Palanivel

Diterbitkan: Khamis, 20 November 2014 11:10 PM

G Palanivel

Palanivel.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel bersedia untuk memberi penjelasan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah tentang keadaan sebenar di kawasannya itu.

Palanivel yang juga merupakan Presiden MIC itu berkata, beliau turut telah berbincang dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung isu berkenaan.

"Saya juga telah berbincang dengan Menteri Besar Pahang. Saya mempunyai hubungan baik dengan Sultan dan pihak Istana. Saya yakin Sultan benar-benar prihatin mengenai kawasan itu dan rakyatnya dan sentiasa mengutamakan kebajikan mereka," kata Palanivel melalui catatan terbaru dalam laman Facebooknya pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan Pengarah strategi MIC, Datuk Seri S. Vell Paari terhadap beliau selepas Sultan Ahmad Shah membuat teguran pedas terhadap Palanivel kerana tidak hadir ketika baginda berangkat melakukan lawatan dan tidak menjalankan tugasnya di kawasan itu.

Palanivel berkata, tindakan pihak tertentu menuduhnya tidak berbuat apa-apa berhubung masalah itu adalah tidak betul.

"Sama-samalah kita sedar bahawa kita adalah pemegang kepentingan yang setara dan sedang berusaha untuk menyelamatkan Cameron Highlands. Kita perlu beri perhatian serius tentang perkara ini, bukan hanya menuding jari kepada satu sama lain.

"Banyak perkara yang telah berlaku sebelum saya dipilih sebagai Anggota Parlimen lagi. Bagaimanapun, saya yakin kita boleh memulihkan Cameron Highlands dan menghentikan degradasi teruk alam sekitar yang berlaku ketika ini," katanya.

Terdahulu, Vell Paari dalam satu kenyataan pada Khamis membidas ketuanya dan berkata parti itu perlu segera diberi nafas baharu dan melakukan perubahan supaya ia terus relevan dengan landskap politik tempatan.

Beliau berkata, pada peringkat sekarang, parti berusia 68 tahun itu memerlukan seorang pemimpin dinamik yang mampu mengatasi cabaran yang dihadapi MIC.

"Tawar hati saya apabila membaca laporan akhbar hari ini bahawa Sultan Pahang menegur Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

"Sultan mengkritik beliau berhubung peranannya sebagai Anggota Parlimen Cameron Highlands, yang baru-baru ini mengalami gelongsoran lumpur yang teruk hingga menyebabkan lima orang maut," katanya.

Tags / Kata Kunci: Palanivel , Cameron Highlands

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan