Banjir: Empat Daerah Masih Terjejas Di Terengganu

Diterbitkan: Khamis, 20 November 2014 10:43 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Empat daerah masih terjejas banjir di Terengganu bagaimanapun jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan menyaksikan pengurangan iaitu 2,503 orang berbanding 2,543 petang Rabu.

Menurut kenyataan Portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, sehingga 9 pagi ini, 15 pusat pemindahan masih dibuka.

Katanya Kuala Terengganu merupakan daerah paling ramai mangsa dipindahkan setakat ini iaitu 1,633 orang daripada 413 keluarga yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan.

Pusat pemindahan tersebut ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, SK Kompleks Gong Badak, SK Gong Tok Nasek, SK Tok Jiring, SK Tok Jembal, SK Bukit Petiti, SK Bukit Nenas, SK Tanjung Gelam, SK Teluk Ketapang dan SK Atas Tol.

Ini diikuti daerah Marang, 851 mangsa (206 keluarga) kini ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong dan SK Rusila.

Di Setiu, jumlah mangsa banjir kini 16 orang (lima keluarga) dipindahkan di Balai Raya Kampung Sungai Lerek dan Balai Raya Rhu Tapai manakala di Besut sembilan orang (dua keluarga) ditempatkan di Balai Raya Kampung Beris Pak Abu dan Surau SK Beting Lintang.

Di KOTA BAHARU, penduduk berhampiran Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas diingatkan agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kerana paras air sungai itu kini sudah melepasi paras bahaya.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri menyatakan bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada bacaan 9.02 meter setakat pukul 9 pagi, melepasi paras bahaya pada bacaan 9 meter.

Sungai-sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utama yang ditutup berikutan banjir, serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Cuaca di Kelantan pagi ini adalah mendung dengan sesekali hujan renyai.

Tinjauan Bernama di sekitar Kota Baharu mendapati beberapa kawasan rendah mula dinaiki air.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata jumlah mangsa banjir di dua pusat pemindahan di Pasir Puteh dan Kota Baharu kekal sebanyak 59 orang.

Seramai 25 mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di SK Wakaf Raja, Pasir Puteh manakala 34 orang berada di SK Tiong di sini.


Tags / Kata Kunci: Terengganu , Banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan