Azmin Janji Bantu Haiwan Yang Diusir

Diterbitkan: Rabu, 19 November 2014 11:09 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Arahan untuk mengusir sebanyak 260 ekor anjing dan 280 ekor kucing terlindung di Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) kini ditangguhkan selepas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menggantung sementara notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Petaling.

Notis yang mengarahkan PAWS supaya mengosongkan tanah milik kerajaan negeri dihantar kepada pusat perlindungan tersebut pada 10 November lalu.

Azmin berkata beliau akan meneliti mengenai perkara itu.

"Saya akan berbincang dengan pegawai daerah dan melihat bagaimana cara terbaik supaya perkara ini boleh diselesaikan," katanya di sebuah majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini, Selasa.

Pengurus PAWS, Edward Lim menemui Azmin pada majlis tersebut bagi merayu mengenai masalah berkenaan.

Azmin berkata satu mesyuarat antara PAWS dan pejabat tanah sudah diatur di sekretariat kerajaan negeri.

Ia akan diadakan hari ini (Rabu).

Ditanya sama ada PAWS akan diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Azmin berkata butiran itu akan diteliti terlebih dahulu.

Sementara itu Lim berkata, beliau kini berasa lebih lega selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar.

"Kami berada dalam keadaan serba salah tapi kata-katanya (Azmin) yang meyakinkan dan penangguhan notis pengusiran memberikan kami sedikit harapan," kata Lim.

Beliau berkata PAWS menduduki tapak sedia ada sejak penubuhannya 28 tahun lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan