Speaker Parlimen Singapura Lawat Malaysia Esok

Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 9:44 PM

Halimah Yacob

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Speaker Parlimen Singapura Halimah Yacob akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia mulai Rabu hingga Jumaat. 

Lawatan itu atas undangan Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menurut satu kenyataan Parlimen Singapura. 

Ia menyatakan lawatan itu membuktikan hubungan akrab dan mesra antara anggota-anggota Parlimen Singapura dan Malaysia. 

Semasa lawatan itu, Halimah akan mengunjungi Pandikar Amin, yang akan meraikan pelawat Singapura itu pada jamuan tengah hari. 

Halimah akan meninjau Bangunan Parlimen dan menyaksikan persidangan dewan Parlimen. 

Speaker itu akan juga mengunjungi Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Parlimen Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim; dan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. 

Halimah juga akan menemui masyarakat Singapura di Malaysia pada satu majlis jamuan dihos oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur. 

Beliau akan disertai delegasi empat anggota Parlimen terdiri daripada Baey Yam Keng, Dr Lim Wee Kiak, Dr Intan Azura Mokhtar, dan Tin Pei Ling.
Tags / Kata Kunci: Halimah Yacob , Parlimen Singapura

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan