Keputusan Rujuk Ahmad Maslan Ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ditangguhkan

Diterbitkan: Isnin, 17 November 2014 2:31 PM

Ahmad Maslan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk merujuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ke Jawatankuasa Hak dan Kebabasan Parlimen atas dakwaan cuba mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kenyataannya mengenai bon melibatkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata keputusan tersebut terpaksa dibuat kerana Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak hadir di Parlimen pada Isnin, walaupun Speaker telah bersedia untuk mengumumkan keputusan beliau. 

"Apabila saya telah bersedia untuk mengumumkan keputusan, Pandan (Rafizi) tidak hadir. Saya telah menerima dokumen berkaitan daripada Kementerian Kewangan. 

"Ini satu contoh, kita sering mempersoalkan mengapa menteri dan timbalan menteri tidak hadir di Dewan Rakyat, namun hari ini ada Ahli Parlimen sendiri yang tidak hadir," kata Pandikar. 

Rabu lalu, Rafizi telah memfailkan usul, untuk merujuk Ahmad Maslan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa memberikan kenyataan yang cuba mengelirukan Dewan Rakyat berhubung surat sokongan kerajaan kepada pemegang bon melibatkan hutang 1MDB berjumlah AS$3 bilion. 

Ahmad Maslan, dalam sidang media selepas itu berkata, beliau telah menghantar semua dokumen yang diperlukan kepada Speaker dan berharap Rafizi juga akan melakukan perkara yang sama. 

"Saya telah menyerahkan semua dokumen yang menerangkan mengenai perbezaan mengenai surat jaminan dan surat sokongan. 

"Jika Rafizi ada dokumen yang dapat mempertikaikan apa yang saya katakan, saya harap beliau juga boleh menghantarnya," katanya. 

"Aset syarikat bernilai RM51 bilion, dan ini lebih daripada beban hutang yang ditanggung. 

"Apabila tiba masanya, mereka akan dapat membayar semula hutang tersebut tanpa bantuan kerajaan Persekutuan," katanya sambil menambah kerajaan tidak akan campur tangan sekiranya syarikat tahap penstrukturan semula. 


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan