Rasuah: Menteri Kabinet, Menteri Muda Sarawak Tandatangan Ikrar Integriti

Diterbitkan: Isnin, 17 November 2014 5:13 PM

Adenan Satem.

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Semua menteri Kabinet dan menteri muda Sarawak akan membuat ikrar integriti menentang amalan rasuah dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Katanya, beliau akan meminta semua pegawai dan kakitangan jabatan dan badan berkanun kerajaan negeri menandatangani ikrar integriti itu dahulu sebelum membawanya kepada semua anggota Kabinet negeri.

"Saya yakin menteri dan menteri muda akan menandatangani ikrar ini dalam masa terdekat," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) untuk agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam sektor perhutanan negeri di sini.

Menurutnya, pembangkang mempersoalkan mengapa anggota Kabinet lain tidak mengikut langkah beliau berikrar untuk tidak membenarkan anggota keluarga dan saudara mara memohon lesen konsesi balak atau tanah negeri, yang dilakukannya pada Jun tahun ini.

"Adalah tidak adil untuk mengatakan mereka (menteri dan menteri muda) takut untuk menandatangani ikrar integriti itu (hanya) kerana mereka tidak melakukannya lagi. Adalah tidak adil menuduh mereka tidak jujur," katanya.

Adenan berkata kerajaan negeri serius memerangi amalan rasuah terutamanya yang membabitkan industri balak.

Beliau berkata menerusi kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan negeri menganjurkan beberapa siri seminar mengenai integriti untuk kira-kira 2,000 anggota penguat kuasa di seluruh negeri ini.

Seminar itu yang melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dianjurkan dengan 'kelainan' kerana ia bertujuan 'mewujudkan rasa takut kepada Allah dalam kalangan mereka yang tidak jujur'.

Sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Negeri, Adenan berkata beliau juga memutuskan untuk tidak mengeluarkan lagi lesen pembalakan baharu dan mengingatkan para pemegang lesen sedia ada supaya memantau aktiviti kontraktor atau sub-kontraktor bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam pembalakan haram.

Menurutnya aktiviti pembalakan haram memberikan Sarawak reputasi yang buruk di peringkat antarabangsa dan mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang itu tidak perlu bimbangkan pelaku kesalahan itu.

"Takut kepada samseng atau ancaman lain tidak boleh menjadi alasan untuk tidak melakukan apa-apa. (Kepada pelaku pembalakan haram) jangan cuba nak main-main dengan saya. Saya akan tahan anda dengan bantuan SPRM dan agensi-agensi lain,"katanya.

Tags / Kata Kunci: SPRM , rasuah , balak , Adenan Satem

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan