Saringan Kesihatan Elak Ebola Di Pintu Masuk Johor

Diterbitkan: Ahad, 16 November 2014 1:51 PM

Petugas Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mohd Haizil Sa'ani (kiri) menunjukkan imej yang diimbas melalui kamera thermal bagi mengesan suhu badan penumpang pesawat di Pusat Pemantauan Saringan Ebola yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pintu masuk antarabangsa Johor turut menyediakan imbasan kesihatan tersebut.

(Ubah saiz teks)

NUSAJAYA: Saringan kesihatan ke atas pengembara tetap dijalankan di pintu masuk antarabangsa di Johor walaupun negeri itu tiada penerbangan terus dari negara dijangkiti wabak virus Ebola (EVD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata, saringan kesihatan dilakukan khusus kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda dan gejala demam serta mempunyai sejarah perjalanan dari negara berisiko EVD dalam tempoh 21 hari.

"Penggunaan peralatan pengimbas haba bagi mengesan gejala demam telah dipasang di pintu masuk antarabangsa," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Adam Sumiru (BN-Tanjung Puteri) mengenai tindakan kawalan Ebola di Johor pada Mesyuarat Kedua (Bajet 2015) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar di sini Ahad.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri mengambil kesempatan daripada penerbangan pulang jemaah haji tahun ini untuk memperbaiki tindakan-tindakan kawalan di pintu masuk ke Johor.

Ayub berkata, anggota kesihatan dan perubatan dalam menguruskan kes yang disyaki dijangkiti EVD turut dilatih.

Katanya, beberapa siri latihan dan simulasi telah dijalankan oleh jabatan itu untuk kakitangan terutama petugas barisan hadapan termasuk petugas hospital swasta.

"Hospital-hospital tertentu telah dikenal pasti untuk mengendalikan atau menjalankan rawatan ke atas pesakit yang disyaki dijangkiti EVD," jelasnya.

Jabatan Kesihatan juga membekalkan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) kepada semua anggota kesihatan dan perubatan yang terlibat mengendalikan kes disyaki dijangkiti EVD di mana beberapa siri latihan pemakaian PPE telah dibuat.

"Taklimat EVD peringkat negeri telah dijalankan pada 30 Oktober lepas melibatkan pelbagai agensi seperti Lembaga Tabung Haji, Jabatan Imigresen, institut pengajian tinggi awam dan swasta serta lain-lain," katanya.- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Ebola , saringan kesihatan , Johor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan