Pairin Saran Perintah Berkurung Diteruskan Di Esszone

Diterbitkan: Ahad, 16 November 2014 9:40 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kanan) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan (kanan) dan Naib Presiden PBS Datuk Dr. Maximus Ongkili (kiri) pada majlis perasmian persidangan perwakilan tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, Ahad. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mencadangkan kerajaan meneruskan penguatkuasaan perintah berkurung di enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata langkah itu memberi manfaat dan berkesan terutama dalam memantau dan mengawal pergerakan keluar masuk penjenayah dan penyeludup ke negeri itu.

"Perintah berkurung ini diteruskan sehingga ke suatu masa apabila tahap keselamatannya lebih terjamin, walaupun ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kerja...nelayan di tepi pantai," katanya dalam ucapan dasar pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS di sini, Ahad.

Persidangan dua hari berakhir Isnin itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di enam daerah di pantai timur Sabah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau sejak 19 Julai lalu untuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

Perintah berkurung harian dari 7 malam hingga 5 pagi itu dilanjut selama 16 hari berakhir 22 November ini.

Pairin yang juga Huguan Siou (pemimpin agung masyarakat KDM) berkata kerajaan persekutuan juga diminta memberi perhatian tinggi terhadap soal keselamatan rakyat Sabah khususnya di ESSZone.

Sambil mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM660 juta kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), katanya, kerajaan perlu meningkatkan tahap keselamatan ribuan penduduk di kawasan pantai timur Sabah memandangkan pencerobohan masih berlaku.

"Dengan peruntukan ini, kita berharap tahap keselamatan akan dapat dipertingkat termasuk mempercepatkan pewujudan beberapa kem batalion pasukan keselamatan di zon itu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan