Jaij Tidak Cadang Tambah Tempoh Kursus Praperkahwinan

Diterbitkan: Ahad, 16 November 2014 2:41 PM

(Ubah saiz teks)

NUSAJAYA: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) tidak merancang untuk menambah tempoh kursus praperkahwinan bagi pasangan Islam yang bakal berkahwin di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, ini kerana 12 modul kursus yang dijalankan dalam kursus dua hari itu sudah diselaraskan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Setiap perubahan yang dilakukan bagi kursus perkahwinan ini akan melibatkan kos, yuran peserta, tenaga pengajar dan penceramah selain mengambil kira cuti hari minggu," katanya.

Beliau menjawab soalan Norshida Ibrahim (BN-Buloh Kasap) pada Mesyuarat Kedua (Bajet 2015) bagi penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar di sini, Ahad.

Sebanyak 28,227 peserta sudah menyertai kursus praperkahwinan yang dikendalikan tujuh syarikat swasta dan 11 badan kebajikan sejak 2013 hingga September lalu.

Menjawab soalan tambahan Norshida, Abd Mutalip berkata, pendekatan kursus tersebut merupakan salah satu cara memberi pendedahan kepada bakal pengantin mengenai alam perkahwinan.

"Pendekatan JAIJ ini dilihat mampu mengekang, menyekat dan mengurangkan kadar penceraian dalam kalangan pasangan beragama Islam," katanya.

Menurut beliau, konflik yang berlaku dalam sesebuah institusi rumah tangga bukan hanya disebabkan kurangnya ilmu perkahwinan semata-mata tetapi turut disebabkan faktor lain seperti ekonomi.

Katanya, JAIJ tidak mempunyai perancangan untuk menganjurkan kursus sehingga waktu malam, selaras dengan pelan kursus praperkahwinan Jakim.

Tags / Kata Kunci: Jaij , Johor , Adun

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan