Polis Pantau Taufik, Ada Kaitan Dengan Marwan

Diterbitkan: Sabtu, 15 November 2014 9:29 AM

Taufik (kanan) tiba di negara ini, malam Rabu lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang mahir dalam pembuatan bom, Taufik Abdul Halim kini kembali ke pangkuan keluarganya di Johor selepas dibebaskan dari sebuah penjara di Indonesia.

Lelaki berusia 39 tahun itu dibawa pulang ke Malaysia dari Jakarta dengan menaiki pesawat komersial yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.40 malam Rabu lalu.

Dia dibawa anggota polis Bukit Aman dan kemudiannya disoal-siasat oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman.

"Dia kelihatan tenang dan bersyukur kerana dapat kembali ke Malaysia. Dia ditanya jika telah bertaubat daripada perbuatannya sebelum ini," kata sumber yang mendedahkan bahawa Taufik dapat pulang selepas rundingan khas dengan pihak berkuasa Indonesia.

Sumber berkata, Taufik yang dipenjarakan selama 12 tahun atas dakwaan cuba meletupkan sebuah pusat membeli-belah di Jakarta pada 2001, dihantar pulang ke kampung halamannya di Johor.

"Polis akan memantau setiap pergerakannya," kata sumber.

Menurut sumber, terdapat 'kepentingan khas' terhadap Taufik kerana dia adalah adik ipar kepada anggota militan, Zulkifli Abdul Khir atau lebih dikenali sebagai Marwan, individu paling dikehendaki oleh Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).

Taufik antara 350 bekas anggota JI yang dibebaskan dari penjara Indonesia selepas menerima pengampunan daripada Presiden Joko Widodo.

Walaupun tiada rakyat Malaysia lain di dalam kumpulan tahanan itu, Bukit Aman sentiasa berwaspada bagi memastikan tiada tahanan yang dibebaskan memasuki negara ini.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan menahan Taufik bagi menyiasat kes-kes yang pernah dilakukannya di negara ini sebelum ini.

Tegasnya, Malaysia tidak akan dijadikan sebagai pangkalan atau tempat transit untuk pengganas.

Taufik mula dikenali selepas kejadian rompakan di Southern Bank Petaling Jaya pada 2001.

Rompakan bank itu dipercayai untuk mengirim wang kepada kumpulan pengganas di Ambon dan Jakarta.

Sebelum terbabit dalam kegiatan pengganas, Taufik yang merupakan bekas pelajar cemerlang dan pernah menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bergiat aktif dalam gerakan tabligh bersama keluarganya.

Bagaimanapun, dia dikatakan terjebak dengan kumpulan pengganas selepas dipengaruhi Marwan.

Taufik pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan