Penduduk Selangor Harus Diberi Kebebasan Amal Kepercayaan Masing-Masing - Azmin

Diterbitkan: Sabtu, 15 November 2014 8:59 AM

Sultan Sharafuddin (tengah) bergambar kenangan bersama Azmin dan semua pihak terlibat dalam majlis penyerahan semula Bible kepada Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) pada Jumaat.

(Ubah saiz teks)

KLANG: Pemulangan semula kitab Bible bahasa Melayu dan Iban kepada Persatuan Gereja Sarawak (ACS) menggambarkan intipati sebenar Islam.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata tindakan itu merupakan pengaplikasian konsep keadilan dan kesederhanaan yang dimaksudkan dalam Al-Quran secara realiti.

Beliau menegaskan rakyat Selangor tidak akan dihalang untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri ini. Walau bagaimanapun, seperti kebebasan beragama termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, sentimen pelampau (extremism), provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kira-kira 351 Bible dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dari Persatuan Bible Malaysia pada Januari lalu kerana mengandungi perkataan Allah.

Penyerahan naskhah Bible tersebut itu dilakukan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa kepada BSM yang diwakili Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS), Archbishop Datuk Bolly Lapok sambil disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mengakui bahawa beliau mahukan kesemua Bible yang dirampas oleh JAIS sebelum ini dipulangkan semula kepada pihak Kristian kerana itu adalah hak milik penganut agama itu.

“Sejak memegang jawatan menteri besar Selangor, pentadbiran negeri akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambah baik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor. Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya berikrar untuk memulangkan Bible tersebut kepada pihak Kristian kerana itu milik mereka,” katanya.

Azmin turut mengucapkan penghargaan tertinggi kepada Sultan Selangor atas pandangan jauh serta insiatif baginda dalam mencari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama.

"Semua pihak yang terlibat terutamanya Mais dan ACS telah pun mencapai penyelesaian yang baik dalam isu Bible ini menerusi usaha ikhlas dan keyakinan untuk menghormati sensitiviti agama dan masyarakat,” katanya.

Azmin juga berikrar untuk menegakkan prinsip-prinsip Islam di negeri ini.

"Islam adalah rahmatan lil alamin – rahmat untuk semua manusia, dan pentadbiran saya akan terus menyebarkan ajaran Islam dan mempamerkan Negeri Selangor sebagai teladan dalam menyokong kesederhanaan dan keadilan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mohamed Azmin Ali , Bible

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan