Najib Mahu Rakyat Sokong Peranan Malaysia Sebagai Pengerusi Asean

Diterbitkan: Jumaat, 14 November 2014 7:20 AM

Najib Tun Razak bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama serta Presiden Myanmar, U Thein Sein bergambar ketika Sidang Kemuncak Asean-US di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar (MICC) pada Khamis. Turut kelihatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (kanan) dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung (kiri).

(Ubah saiz teks)

NAY PYI TAW: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap semua lapisan rakyat memberi sokongan dan kerjasama padu kepada kerajaan apabila Malaysia mengambil alih tugas sebagai pengerusi Asean pada tahun depan.

Beliau berkata tanpa sokongan rakyat, sukar bagi kerajaan melaksanakan peranannya sebagai pengerusi pertubuhan rantau Asia Tenggara itu.

"Kalau tidak, amat sukar untuk kita menjayakan apa-apa yang hendak kita lakukan ketika Malaysia menjadi pengerusi," kata beliau kepada wartawan Malaysia selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Asean ke-25 pada Khamis.

Menurutnya semua pihak termasuk kerajaan, swasta, badan korporat, media serta orang perseorangan mestilah memberi sokongan kepada peranan Malaysia itu, yang dianggapnya sebagai kebanggaan negara dan misi nasional.

Najib berkata Malaysia menerima penghormatan menjadi pengerusi Asean dalam tahun yang bersejarah iaitu ketika Asean bakal diisytiharkan sebagai sebuah Komuniti Ekonomi.

"Ini adalah tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia untuk menjayakan segala-galanya yang patut kita lakukan sebagai pengerusi Asean," kata perdana menteri.

Dalam memahami pentingnya peranan pengerusi Asean yang bakal digalas Malaysia,  Najib meminta rakyat supaya menghayati tema 'Asean Berpaksikan Rakyat' yang dicadangkan Malaysia pada sidang kemuncak itu.

Bagi menjayakan tema itu, beliau menjelaskan pelan komunikasi yang berkesan perlu dilaksanakan  selain merancang pelbagai program yang melibatkan pemimpin, usahawan muda, Anggota Parlimen dan wanita dari negara-negara anggota Asean.

Mengenai Sidang Kemuncak Asean ke-25 itu, Najib berkata ia berlangsung dengan baik dan mencapai kejayaan secara keseluruhannya.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , Asean

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan