Jawatankuasa Ditubuh Untuk Cadang Pelan Pemulihan Cameron Highlands - PM

Diterbitkan: Jumaat, 14 November 2014 9:33 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mencadangkan pelan pemulihan di Cameron Highlands, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Mengumumkan perkara itu, beliau berkata Kabinet telah melantik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob untuk membentuk jawatankuasa bersama bagi memperincikan pelan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Johor di sini hari ini, beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu merupakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang yang ditegaskan Kabinet dalam mesyuarat hari ini.

"Kita sudah bincang dalam Kabinet dan kita setuju dua perkara iaitu kena ada pelan tindakan jangka pendek dan panjang untuk pulihkan Cameron Highlands," kata beliau sebagai mengulas situasi terkini mengenai Cameron Highlands.

Najib berkata perkara kedua yang ditegaskan Kabinet adalah mengenai tindakan agensi-agensi yang terlibat untuk melihat penguatkuasaan undang-undang di kawasan berkenaan.

Beliau berkata tindakan sewajarnya perlu dilakukan sekiranya terdapat mereka yang menyalahi undang-undang, bersertakan bukti.

"Bila tiada penguatkuasaan, maka, kita tidak beri sesuatu isyarat yang betul dan tiada siapa yang akan takut dengan undang-undang," kata perdana menteri.

Dalam kejadian 5 November lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam diarah berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat berikutan hujan lebat.

Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing akibat hujan lebat selama sejam.

Kejadian berkenaan meragut lima nyawa manakala lima lagi cedera.

Penerokaan tanah secara haram dikatakan antara faktor berlaku banjir dan tanah runtuh di daerah tanah tinggi itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan