Empat Monyet Kerdil Di Zoo Johor Dicuri

Diterbitkan: Khamis, 13 November 2014 12:16 PM

Marmoset.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Empat marmoset atau monyet kerdil yang menjadi tarikan terbaharu di Zoo Johor hilang dipercayai dicuri apabila sangkar haiwan itu ada kesan dipecah masuk.


Monyet kerdil berekor panjang itu bernilai RM8,000 seekor dan harganya mampu mencecah dua kali ganda di pasaran gelap, kata sumber.

Haiwan tersebut yang berketinggian 18.5 sentimeter (sm) hingga 18.8 sm itu, ditempatkan di zoo tersebut untuk dipamerkan kepada orang ramai sejak beberapa bulan lalu.


Seorang pengawal zoo menyedari haiwan tersebut dilarikan kira-kira pukul 9.40 pagi Selasa.
 
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihak berkuasa zoo telah membuat laporan polis dan siasatan sedang dilakukan.

Beliau menggesa semua pengusaha kedai haiwan untuk memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat mana-mana individu yang cuba menjual haiwan tersebut kepada mereka.

Ini bukan kes pertama membabitkan kecurian haiwan di zoo.

Beberapa ekor burung turut dilarikan pencuri sebelum ini.

Di Kuala Lumpur, kira-kira 69 haiwan mati di Zoo Negara antara Januari dan Ogos, manakala 167 kelahiran direkodkan dalam tempoh sama.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, haiwan tersebut mati akibat penyakit, kecederaan traumatik, masalah nutrisi dan kematian neonatal.

"Zoo tersebut cuba melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kadar kematian dan merawat haiwan yang cedera.

"Kita akan meneruskan usaha pemuliharaan terhadap pelbagai jenis spesies hidupan liar di zoo tersebut," katanya.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (BN-Segambut) yang ingin tahu statistik terkini jumlah pelawat pusat konservasi panda gergasi dan jumlah pelawat Zoo Negara secara keseluruhan serta statistik haiwan yang mati di Zoo Negara. 

Tags / Kata Kunci: marmoset , Zoo Johor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan