Jangan Pinggirkan Bahasa Melayu - Muhyiddin

Diterbitkan: Rabu, 12 November 2014 7:03 AM

Muhyiddin Yassin.

(Ubah saiz teks)

CANBERRA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bahasa Melayu mempunyai tempat sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan ia tidak harus dikorbankan dalam usaha untuk memperkasakan Bahasa Inggeris.

Dalam mempertahankan keputusan kerajaan untuk menukar semula pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pendirian beliau dalam perkara itu.

"Sebagai seorang Malaysia, saya tak fikir bahasa saya harus dibunuh hanya kerana saya nak memperkasakan bahasa Inggeris," katanya pada sesi soal jawab dengan masyarakat dan penuntut Malaysia pada majlis di sini Selasa malam.

Majlis itu yang berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra merupakan acara pertama dalam rangka lawatan tiga hari Muhyiddin ke ibu negara Australia ini dan Perth.

Beliau berlepas ke Canberra dari Nagoya, Jepun pada tengah hari Rabu selepas menghadiri persidangan antarabangsa mengenai pendidikan bagi pembangunan lestari.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata pandangan beliau berhubung perkara itu bukan kerana beliau orang Melayu kerana apa yang lebih penting ialah kebimbangan beliau terhadap isu penyaluran dan penyerapan ilmu pengetahuan menerusi cara efektif.

"Ini bukan soal kebangsaan saya semata-mata kerana kalau Malaysia tak mulakan begitu (memperkasa bahasa Melayu) ... bermakna untuk kedua-dua subjek itu bahasa Melayu akan mati langsung," tegasnya.

Muhyiddin menjelaskan beliau bersikap tidak adil kepada pelajar Malaysia sekiranya langkah untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris diteruskan dengan mengambil kira kekangan dihadapi kementerian.

Beliau memberikan contoh kekurangan guru berkelayakan untuk melaksanakan tugas itu sebagai antara alasan keputusan diambil untuk memansuhkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dibuat pada 2009.

Beliau menegaskan banyak daripada mereka adalah produk daripada sistem yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu.

Muhyiddin berkata semasa dasar itu dilaksanakan, banyak guru akan secara automatik menggunakan bahasa Melayu apabila pelajar dalam kelas Sains dan Matematik gagal memahami apa yang diajar, dan ini menjejaskan tujuan dasar itu diperkenalkan.

Muhyiddin mengambil perhatian bahawa sesetengah pihak mungkin memberikan alasan bahawa dasar itu dilaksanakan dengan baik di sekolah-sekolah di kawasan bandar tetapi ia tidak begitu di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kementerian telah menjalankan kajian mendalam tentang situasi itu sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung perkara itu.

"Mungkin di sekolah anda ia adalah okay tetapi bagi banyak sekolah lain ia adalah tidak okay, guru tidak berkelayakan, pelajar tidak faham. Tetapi apa salahnya bahasa Melayu (untuk mengajar Sains dan Matematik)? Jadi sekarang kita telah kembali kepada bahasa Melayu," katanya.

"Dan pelajar boleh faham. Bagi saya, saya pentingkan ilmu pengetahuan, Sains ialah ilmu pengetahuan, Matematik ialah ilmu pengetahuan. Bahasa sebagai bahasa pengantar. Jadi jika anda bimbang tentang bahasa Inggeris, saya akan ajar anda Bahasa Inggeris," katanya.

Muhyiddin memberikan contoh Jepun yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan walaupun semuanya dalam bahasa Jepun.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Zainal Abidin Ahmad, ketua agensi-agensi kerajaan di Canberra, staf Suruhanjaya Tinggi dan rakyat Malaysia yang menetap di Australia.

Sebelum itu pada Selasa, Zainal Abidin menyambut ketibaan Muhyiddin di Canberra dari Nagoya, Jepun dengan beliau mewakili Malaysia pada Persidangan Pendidikan Sedunia mengenai Pendidikan Lestari 2014 pada Isnin.

Pada Rabu, Muhyiddin dijadual melancarkan Pusat Rangkaian Pengajian Global Malaysia, kerjasama antara Australia National University dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau juga dijadual mengunjungi Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss sebelum berlepas ke Perth, ibu negeri Australia Barat.

Jadual Muhyiddin di Perth termasuk lawatan ke pejabat Fugro Offshore Survey dengan beliau dijadual diberi taklimat tentang fasa baharu operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang.

Pesawat jenis Boeing 777 bersama 239 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam penerbangan ke Beijing apabila hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8 Mac.

Operasi mencari MH370 di dasar laut ketika ini dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai bersemadi setelah melencong daripada laluan asal penerbangannya dalam satu kejadian penuh misteri.

Di Perth, Muhyiddin juga dijadual melakukan kunjungan terhadap Ketua Menteri Australia Barat Colin Barnett dan merasmikan Dewan Malaysia Perth.

Tags / Kata Kunci: Muhyiddin Yassin , Bahasa Melayu

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan