Harga Sayur, Bunga Dari Cameron Highlands Dijangka Naik

Diterbitkan: Rabu, 12 November 2014 7:30 AM

(Ubah saiz teks)

CAMERON HIGHLANDS: Operasi besar-besaran membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di Cameron Higlands susulan insiden banjir kilat yang menjejaskan beberapa ladang di sini akan menyebabkan harga sayur-sayuran dan bunga-bungaan lebih mahal dalam beberapa bulan akan datang.

Beberapa pemilik ladang berkata, kenaikan harga akan memberi kesan kepada pengguna selain eksport ke Singapura dan beberapa negara lain terutamanya pada sambutan Krismas bulan depan dan Tahun Baru Cina pada Februari.

Jabatan Imigresen melakukan operasi khas untuk membanteras pekerja asing yang didakwa tidak mempunyai permit kerja yang sah selepas siasatan Kementerian Dalam Negeri mendedahkan satu sindiket membawa masuk ribuan pekerja asing di sana.

Kebanyakan pekerja asing dilaporkan sedang menyembunyikan diri daripada dikesan.

Tindakan itu menyebabkan pemilik ladang buntu memikir cara untuk berdepan masalah kekurangan tenaga kerja di ladang masing-masing.

Perkara ini berlaku selepas insiden banjir kilat dan tanah runtuh yang menyebabkan beberapa kerosakan dan mengorbankan lima nyawa pada 5 November lalu.

Banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Ringlet di sini dengan pihak berkuasa negeri menyalahkan kegiatan pembersihan tanah secara haram.

Pada Selasa, tinjauan The Star mendapati hanya segelintir pekerja sedang melakukan aktiviti tuaian di beberapa ladang di Ringlet dan kawasan lain.

Kebiasaannya, terdapat dua atau tiga pekerja di setiap hektar kawasan ladang di sini.

Seorang pemilik ladang yang hanya ingin dikenali sebagai Tan, 62, berkata, dia kini hanya mempunyai dua pekerja di ladang sayur dan bawang miliknya berbanding enam sebelum ini.

"Taikor (bos) juga perlu bekerja sekarang!," katanya.

Seorang lagi pemilik ladang yang dikenali sebagai Chua, 55, hanya mempunyai tiga pekerja untuk mengutip hasil di ladang pudinanya yang berkeluasan 0.809 hektar.

Beliau berkata harga sayur-sayuran dan bunga-bungaan akan naik kerana ramai pemilik ladang mungkin perlu mendapatkan lebih ramai pekerja dalam tempoh singkat atau hanya terpaksa mendapatkan hasil tuaian yang sedikit.

"Harga akan naik. Saya menjual daun pudina RM2 sekilo buat masa ini. Ia akan naik ke dua atau tiga ringgit menjelang hujung tahun ini.

"Harga mungkin akan melambung naik pada sambutan Tahun Baru Cina kerana kerosakan yang disebabkan banjir kilat dan operasi besar-besaran membanteras Pati," katanya.

Seorang wanita berusia 25 tahun yang juga anak kepada seorang pemilik ladang sayur dan bunga bersetuju dengan kenyataan Chua.

"Kami tidak boleh jangka berapa kenaikan itu buat masa ini. Namun sejambak bunga berharga RM8 dan ia mungkin meningkat pada musim cuti.

"Bekalan terhad. Hasil yang sepatutnya dituai bagi tempoh itu sebahagiannya telah musnah akibat banjir. Lebih banyak ladang musnah pada kali ini berbanding insiden pada tahun lepas," katanya yang enggan namanya didedahkan.

S. Vanitha, yang menjalankan perniagaan nurseri bunga berkata ramai pekerja haramnya telah ditahan.

"Wujud kebimbangan di kalangan pekerja. Bukan sahaja sektor peladangan terjejas tetapi perniagaan lain seperti restoran dan kedai cenderamata turut mengalami masalah sama," katanya.

Pekerja ladang warga India, Muniandy, 28, berkata, pemilik ladang menyimpan semua dokumen pengenalan dirinya dan dia bimbang jika berlaku sebarang pemeriksaan mengejut.

"Ramai dikalangan kami turut diminta untuk tidak bercakap dengan sesiapa sahaja yang tidak dikenali," katanya.

Tags / Kata Kunci: Cameron Highlands

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan