Lima Kelemahan Urus Tanah Rizab Melayu Di Johor Dikesan

Diterbitkan: Selasa, 11 November 2014 12:05 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3, mendapati sebanyak lima kelemahan yang dapat memberi kesan terhadap pengurusan Tanah Rizab Melayu di Johor, ditemui semasa mengaudit Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri berkenaan antara Januari hingga April tahun ini.

Laporan itu menyebut, kelemahan pertama ialah keluasan sebenar Tanah Rizab Melayu di negeri ini tidak dapat ditentukan disebabkan Daftar Kawasan Tanah Rizab Melayu tidak dikemas kini serta 767 permohonan Kemasukan Tanah Rizab Melayu yang telah selesai diwartakan tidak didaftarkan.

Selain itu, maklumat pewartaan pembatalan dan penggantian kawasan Tanah Rizab Melayu tidak dapat disahkan serta proses pewartaan bagi 518 permohonan Kemasukan Tanah Rizab Melayu lewat diselesaikan antara dua dan 17 tahun.

Sebanyak 108 dokumen hak milik Tanah Rizab Melayu juga tidak diendors mengakibatkan empat bidang tanah di Kluang dan Kulaijaya seluas 4.47 hektar telah dipindah milik kepada bukan Melayu.

Terdapat juga pecahan plot bagi pembangunan kawasan Rizab Melayu milik bukan Melayu tidak didaftarkan atas nama pengarah Melayu.

Kawasan Tanah Rizab Melayu milik kerajaan Johor, juga ada yang telah diusahakan dan diduduki tanpa kebenaran.

"Pengauditan yang dilaksanakan antara Januari hingga April 2014 mendapati syarat yang ditetapkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya 4,573 kelulusan permohonan kurniaan tanah seluas 9,284.02 hektar kepada orang Melayu pada 2011 hingga 2013 dijadikan sebagai Tanah Rizab Melayu adalah baik," menurut laporan itu.

Mengikut rekod PTG, sehingga Disember 2013, Tanah Rizab Melayu di Johor adalah seluas 429,386.77 hektar.

Jabatan Audit Negara turut mengesyorkan supaya PTG menyemak semula bilangan kawasan dan keluasan Tanah Rizab Melayu di Johor serta mengemaskinikan Daftar Kawasan Tanah Rizab Melayu supaya keluasan sebenar dapat ditentukan.

Ia juga mengesyorkan agar PTG mengadakan sebuah pasukan khas untuk mengemaskinikan semua rekod, endorsan dan pewartaan melibatkan kawasan tanah itu bagi memastikan objektif Tanah Rizab Melayu tercapai mengikut Enakmen Rizab Melayu Johor 1936.

PTG juga perlu menyediakan garis panduan pengurusan Tanah Rizab Melayu sebagai rujukan kepada pegawai baharunya dan pejabat tanah daerah bagi menjamin status pegangan hak milik Melayu terus kekal dan terpelihara.

Sementara itu, pengauditan yang dijalankan antara September dan November 2013 ke atas Johor Silica Industries Sdn Bhd (JSISB) milik Perbadanan Johor menemui bahawa stok pasir silika mentah di Johor semakin menyusut.

Jabatan Audit Negara mengesyorkan supaya syarikat itu yang mencatat keuntungan terkumpul berjumlah RM2.88 juta pada tahun lepas, mengambil langkah awal menyediakan perancangan strategik jangka panjang berkaitan jenis perniagaan yang akan dijalankan bagi menggantikan perniagaan sedia ada sekiranya kehabisan stok pasir silika.

Laporan itu juga menyebut, syarikat itu juga perlu meningkatkan stok bekalan pasir silika mentah sedia ada termasuk membeli daripada pihak luar bagi memastikan perniagaan sentiasa berjalan dan mendatangkan keuntungan.

Kegiatan utama syarikat JSISB ialah perlombongan, memproses dan membekalkan pasir silika industri berkaitan silika seperti pengeluar barangan kaca, pengeluar cat dan syarikat kontraktor.

Tags / Kata Kunci: Audit Negara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan