Ceroboh Tanah: Ahli Politik, Warga Asing Tak Terkecuali Dikenakan Tindakan - TPM

Diterbitkan: Ahad, 9 November 2014 2:20 PM

Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan banjir kilat dan tahah runtuh di Cameron Highlands pagi Ahad.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk ahli politik dan warga asing jika didapati terlibat dalam kegiatan pencerobohan tanah hingga berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands, Rabu lalu.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada siapa yang terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk jika melindungi kegiatan pencerobohan tanah.

"Kita perlu buktikan setakat mana seriusnya usaha kerajaan untuk menangani isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan  Mesyuarat Khas Bencana Banjir Kilat dan Tanah Runtuh di Cameron Highlands di pejabat Majlis Keselamatan Negara di sini, pagi Ahad.

Muhyiddin berkata, kegiatan pencerobohan tanah secara haram perlu dihentikan serta merta bagi mengelak bencana yang lebih teruk pada masa depan.

Beliau turut mengakui bahawa pihak berkuasa kurang menjalankan pemantauan terhadap kegiatan pencerobohan tanah di Pahang.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains menjalankan kajian risiko tanah runtuh dan merangka pelan mitigasi khusus untuk kawasan sekitar Cameron Highlands.

"Tiada maaf bagimu", tegas Muhyiddin terhadap pendatang tanpa izin yang menceroboh dan ahli politik yang melindungi pencerobohan di tanah tinggi Cameron Highlands.

Beliau berkata, bagi membanteras gejala yang berleluasa itu, kerajaan akan menggerakkan operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan bagi memastikan pihak terlibat segera dikenakan tindakan tegas.

"Satu daripada sebab kenapa perkara ini (kejadian banjir dan tanah runtuh) berlaku adalah tidak ada ketegasan dari segi pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggarnya.

"Jadi, kita telah putuskan bahawa kerajaan perlu ambil tindakan tegas dan saya telah arahkan satu operasi besar-besaran dilaksanakan bagi memastikan hal ini dihentikan segera," katanya.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan