Makmal Khas Diwujud Tambah Baik Modul PLKN

Diterbitkan: Sabtu, 8 November 2014 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR GAJAH: Kerajaan akan mewujudkan makmal khas yang berfungsi mengumpul maklumat dan menjalankan kajian pendapat bagi menambah baik modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sedia ada selaras peredaran masa.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata langkah itu bagi melonjak peranan PLKN yang telah melahirkan lebih 800,000 pelatih sejak 2004 selaras dengan Pelan Transformasi Belia Negara untuk memperluas peranan belia dalam Bajet 2015. 

Beliau berkata inisiatif itu yang telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan diketuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
 
"Kajian akan mengambil kira pendapat pelbagai pihak terutama individu atau kumpulan yang dikenal pasti dapat memberikan idea yang bernas bagi menambah nilai dan tambah baik modul sedia ada.
 
"Kumpulan sasaran bagi kajian ini akan melibatkan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan PLKN Kumpulan 3 Siri 11/2014 di Kem Putra Putri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Mohmed Asri Yusof.

Seramai 306 pelatih PLKN terdiri daripada 180 pelatih Kem Putra Putri Alor Gajah dan 126 pelatih dari Kem Ulu Pari Rembau Negeri Sembilan hadir pada sesi penutupan tamat latihan di kem tersebut.

Abdul Rahim berkata inisiatif itu bertujuan untuk melahirkan modal insan dan warganegara yang mampu memacu masa depan negara ke arah yang lebih gemilang selaras dengan objektif pelaksanaan PLKN.
 
"Ini termasuk meningkatkan semangat patrotisme dalam kalangan pelatih, memupuk perpaduan dan integrasi nasional serta membentuk perwatakan positif pelatih melalui nilai murni," katanya.

Abdul Rahim turut menggesa pelatih PLKN mengaplikasikan ilmu yang diperoleh sepanjang program latihan itu bagi mengelak terpengaruh atau terlibat dengan kumpulan pengganas terutama kumpulan militan digelar IS di Timur Tengah yang menjadi isu global masa kini.

 
"Antara cabaran terbesar yang perlu dihindari golongan muda adalah ancaman pengganas yang menyasarkan aset negara ini untuk menyertai pergerakan yang bukan sahaja merosakkan mereka malah mampu menghancurkan negara," katanya.

Seramai 13,625 pelatih PLKN Kumpulan 3 Siri 11/2014 dari 80 kem di seluruh negara menamatkan latihan pada hari ini.
Tags / Kata Kunci: makmal khas , modul PLKN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan