Kerajaan P.Pinang Diminta Perinci Jumlah Rumah Kos Rendah Yang Dibina

Diterbitkan: Jumaat, 7 November 2014 2:11 PM

Datuk Jahara Hamid

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid meminta kerajaan negeri memperincikan jumlah rumah kos rendah yang dibina sepanjang pakatan rakyat mentadbir negeri ini.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri pimpinan DAP itu dilihat gagal menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang.

"Cuba beritahu saya berapa buah rumah kos rendah yang telah dibina oleh kerajaan negeri sekarang dan di mana. Tolong beri perincian. Sekatat ini tiada, kosong," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri di sini Jumaat.

Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan kerajaan persekutuan yang mempunyai perancangan untuk membina rumah mampu milik bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinang, walaupun Barisan Nasional (BN) tidak memerintah negeri itu.

Membidas kenyataan Exco kerajaan negeri Jagdeep Singh Deo bahawa kerajaan persekutuan sama sekali gagal membekalkan rumah kos rendah dan rumah mampu milik kepada rakyat, Jahara (BN-Teluk Air Tawar) berkata PR1MA pasti akan menunaikan janji yang dibuat bagi membina rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang.

Jahara yang mencelah ketika Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri itu menjawab soalan Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berhubung isu perumahan, berkata: "Kami di sini boleh beri jaminan bahawa PR1MA akan menunaikan janji yang telah dibuat".

Jagdeep Singh ketika menjawab soalan berhubung isu perumahan itu turut mencabar BN membuktikan PR1MA akan dibina di Pulau Pinang kerana mendakwa negeri di bawah pimpinan DAP itu sering dianaktirikan.

Pada Disember 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk memberi dua hadiah besar kepada rakyat Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan monorel jika BN diberi mandat semula untuk memerintah negeri ini.

Jahara turut membangkitkan isu kebenaran merancang projek rumah kos rendah yang tidak melibatkan penempatan semula setinggan antara kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang. 

"Saya rasa elok kalau ia tidak diselesaikan di media kerana ia tidak membawa kepada satu kesudahan yang baik. Datuk Zainal Abidin Osman (Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang) telah beritahu bersedia untuk berjumpa Jagdeep. 

"Persoalannya, adakah YB Jagdeep bersedia untuk mempertimbangkan secara positif agensi yang ingin membina rumah mampu milik dan kos rendah di negeri ini. Jadi, di sini adakah kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama supaya projek dapat diteruskan," katanya.

Tags / Kata Kunci: PR1MA , rumah kos rendah , Datuk Jahara Hamid

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan