Anwar Dakwa Shafee Keluar Kenyataan Mahu 'Paku Kerandanya'

Diterbitkan: Jumaat, 7 November 2014 6:01 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkelakuan tidak profesional apabila menyatakan mahu memasukkan 'paku terakhir pada keranda' ketua pembangkang itu.

Menyifatkan pendakwa raya dalam rayuan terakhir kes liwat itu sebagai sombong dan angkuh, Anwar turut mengaitkan Muhammad Shafee sebagai 'wakil musuh politiknya'.

"Semalam...saya dukacita kerana Tan Sri Shafee yang mewakili peguam negara bercakap begitu sombong dan angkuh mengatakan akan meletakkan paku terakhir dalam keranda Anwar.

"Dia mesti ingat, dia di sini (Mahkamah Persekutuan) bukan sebagai musuh politik mewakili Umno. Dia sebagai pendakwa raya dan perlu pertahankan profesionalisme.

"Jadi hari ini tidak ada keranda dan tidak ada paku (tiada keputusan dibuat)," katanya kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Persekutuan di sini, Jumaat.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu gagal menyatakan lokasi Muhamaad Shafee mengeluarkan kenyataan seperti berkenaan.

Malah Anwar juga tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'paku' dan 'keranda' seperti yang didakwa digunakan dalam kenyataan Muhammad Shafee.

Namun ia mungkin dikaitkan dengan masa depan politik Anwar sekiranya beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukuman kerana meliwat.

Beliau ditemui selepas berakhirnya prosiding pendengaran rayuan terakhirnya terhadap hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sementara itu Muhammad Shafee ketika ditanya berhubung dakwaan Anwar itu kelihatan terkejut dan sebaliknya mengajukan soalan kepada pemberita bilakah beliau membuat kenyataan tersebut.

"Apa kenyataan yang saya buat dan tidak profesional?

"Saya tidak pernah kata begitu. Saya tak pernah sebut pin atau paku mahupun keranda. Tak ada pasal itu," katanya terkejut dengan dakwaan Anwar.


Tags / Kata Kunci: Mahkamah Persekutuan , Liwat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan