Retakan Di Bukit Aman Membimbangkan - Mohamad Fuzi

Diterbitkan: Khamis, 6 November 2014 8:50 PM

Mohamad Fuzi menunjukkan kesan rekahan dan tanah runtuh di kawasan berdekatan Bukit Aman dan Jalan Kinabalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesan keretakan di Bukit Aman menimbulkan kebimbangan di kalangan anggota polis yang khuatir Menara Dua di ibu pejabat polis itu akan runtuh.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, bangunan setinggi 33 tingkat itu yang digunakan sejak awal 1980-an berada dalam bahaya berdepan risiko runtuh kerana berkemungkinan berlaku pergerakan tanah di bawah bangunan tersebut.

"Terdapat kesan retakan ketara di tapak bangunan dan meskipun telah dibaiki, rekahan itu berlaku lagi," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Mohd Fuzi juga berkata banjir di tingkat bawah bangunan kerap kali terjadi, lokasi yang menempatkan penyimpanan pelbagai jenis senjata.

"Setiap kali apabila hujan, terdapat takungan air di tingkat bawah yang boleh meresap ke dalam tanah," katanya.

Di timur kawasan berbukit yang menempatkan menara tersebut, menghadap Jalan Kinabalu kerap kali dilanda insiden tanah runtuh sejak beberapa tahun lalu.

"Wujud rasa bimbang terhadap tahap keselamatan seramai 5,000 pekerja di bangunan ini termasuk saya sendiri," kata Mohd Fuzi.

Turut dibimbangkan adalah keadaan cerun di belakang Dewan Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, katanya.

Insiden tanah runtuh pada tahun lalu di cerun tersebut menyebabkan sejumlah besar tanah jatuh menimbusi laluan landasan keretapi.

"Mereka (Kereta Api Tanah Melayu Berhad) memasang penghadang konkrit untuk menghentikan lebih banyak tanah menimbusi landasan tetapi ia tidak menghalang runtuhan yang lain," katanya.

Mohd Fuzi berkata, aduan telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan satu kajian dijalankan tiga bulan lalu.

"Mereka (JKR) masih belum mengeluarkan laporan akhir yang dipercayai mengambil masa selama tiga bulan lagi, tetapi penemuan awal mereka mendapati bangunan itu masih selamat diduduki.

"Namun dengan kesemua kesan (retakan dan hakisan) dan musim hujan, ramai yang bimbang mengenai situasi itu," katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, isu itu sedang diteliti.

"JKR datang melihat kawasan tersebut pada Jun tahun lalu dan April tahun ini.

"Kedua-dua penemuan itu telah dihantar ke Bukit Aman dan beberapa kerja pembaikan oleh DBKL sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Memandangkan berlaku insiden tanah runtuh di lereng bukit baru-baru ini, Fadillah berkata, JKR akan mengatur lawatan ke tapak kawasan itu semula pada Jumaat.




Tags / Kata Kunci: Bukit Aman , rekahan , Mohamad Fuzi Harun

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan