MAS Peroleh Mandat Jelas Tawaran Saham 27 Sen Diterima - Pengerusi

Diterbitkan: Khamis, 6 November 2014 5:36 PM

(Ubah saiz teks)

KELANA JAYA: Malaysian Airline System Bhd memperoleh mandat jelas selepas majoriti pemegang sahamnya menerima tawaran 27 sen sesaham, kata Pengerusinya Tan Sri Md Nor Yusof.

Sebanyak 93.96 peratus pemegang saham MAS setuju menerima tawaran penswastaan pada harga 27 sen seunit.

"Rasa amat lega sekali. Kami kini mendapat mandat jelas, terutamanya Khazanah Nasional Bhd," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini, Khamis.

Mesyuarat itu yang bermula pada 10 pagi berakhir pada pukul 4.15 petang.
 
Md Nor berkata ia bakal menjadi satu tempoh yang menarik bagi syarikat penerbangan itu pada masa akan datang, sambil menambah buat masa ini pelan perniagaan baharu itu sedang diusahakan. 

Beliau berkata pembayaran kepada pemegang saham dijangka selesai pada akhir tahun. 

Apabila ditanya sama ada MAS akan bertambah baik bermula sekarang, beliau menjawab "Insya-Allah."
 
Mengenai sama ada, bekas CEO Air Lingus Christoph Mueller mungkin dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif MAS yang baharu, beliau berkata tidak ada sebarang keputusan rasmi buat masa ini.
 
"Apa yang boleh saya katakan ialah, ketika ini kami sedang mencari calon terbaik di seluruh dunia," katanya. 

Majoriti pemegang saham MAS mengundi memilih resolusi bagi cadangan pengurangan modal berpilih dan pembayaran semula pada mesyuarat tersebut.

Tags / Kata Kunci: MAS , saham , penswastaan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan