Azmin Cadang Mufti & Mais Adakan Pertemuan Dengan SIS

Diterbitkan: Rabu, 5 November 2014 11:03 AM

Azmin Ali.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali pada Rabu mengemukakan cadangan agar Mufti Selangor, Dato Seri Mohd Tamyes Abd Wahid dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan pertemuan dengan Sisters In Islam (SIS) bagi menyelesaikan kontroversi berhubung fatwa terhadap badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Azmin berkata, pertemuan mufti dan Mais dengan SIS perlu untuk mengelak kekeliruan dan salah faham mengenai isu SIS yang memohon semakan kehakiman mengenai fatwa Mais dan beliau mengemukakan cadangan itu setelah diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Selepas membaca kenyataan SIS di media, saya telah menghubungi Mufti Selangor untuk mendapat penjelasan mengenai isu tersebut.

"Isu ini kemudiannya dibincangkan di Mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang kebetulan berlangsung pada 3 November 2014 untuk mendapatkan penjelasan langsung daripada Mufti Selangor dan Pengerusi Mais.

"Daripada penjelasan yang diberikan Mufti Selangor dan Mais pada Mesyuarat Dewan Diraja Selangor, saya telah mencadangkan, dengan perkenan Tuanku Sultan, supaya Mufti Selangor dan Mais mengadakan dengan SIS untuk mengelak kekeliruan dan salah faham,” kata Azmin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Azmin turut mengingatkan orang ramai bahawa beliau bukan Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Pejabat Menteri Besar juga tidak mempunyai kuasa dalam hal berkaitan fatwa.

"Saya benar-benar berharap dengan konsultasi dan pertemuan yang dijalankan tanpa prasangka, akan membantu untuk membawa suasana harmoni sepertimana yang dianjurkan oleh Islam," katanya. 

Jumaat lalu, SIS menfailkan semakan kehakiman berhubung isu fatwa yang dikeluarkan oleh Mais yang mengisytiharkan kumpulan berkenaan sebagai haram kerana terlibat dengan aktiviti liberalisme, pluralisme agama dan mereka menyebarkan ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam. 

SIS menamakan Mais, Jawatakuasa Fatwa Selangor dan kerajaan negeri sebagai responden dalam semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Azmin sebelum ini dilaporkan berkata keputusan telah dibuat dan fatwa yang telah diputuskan itu perlu dihormati oleh semua pihak, kenyataan tersebut bagaimanapun mengundang kemarahan dikalangan pemimpin SIS dan beberapa NGO yang lain.  



Tags / Kata Kunci: Mais , Sister In Islam , Mufti Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan