PM Belanda, Najib Dijangka Bertukar Pandangan Mengenai MH17 Esok

Diterbitkan: Selasa, 4 November 2014 8:07 PM

Najib (kiri) dan Rutte.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte dijangka bertukar-tukar pandangan dan maklumat tentang perkembangan terkini berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh sempena lawatan rasmi sehari Rutte ke Malaysia Rabu.

Kementerian Luar dalam kenyataannya pada Selasa berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan pegawai Malaysia yang terlibat dengan penyiasatan nahas itu selepas pertemuan mereka.

Perdana Menteri akan menyambut ketibaan Rutte di Putrajaya esok dalam lawatan bagi membalas kunjungan Najib ke Belanda pada Julai.

Dalam kunjungan pertamanya ke Malaysia itu, Rutte akan diiringi para pegawai kanan Kementerian Luar Belanda.

Penerbangan MH17 terhempas di selatan Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
 
Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat malang itu membawa 193 rakyat Belanda dan 44 rakyat Malaysia.

Semua rakyat negara ini yang menjadi mangsa, telah dikenal pasti.

Kenyataan itu berkata lawatan Rutte memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pendapat tentang perkara dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Lawatan itu juga dijangka meningkatkan hubungan baik dua hala sedia ada antara Malaysia dan Belanda, kata kenyataan itu.

Tags / Kata Kunci: Mark Rutte , MH17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan