CCTV Di Bilik Kebal Untuk Elak Kebocoran Soalan SPM - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 3 November 2014 1:00 PM

Ketua Pengawas Pusat Peperiksaan mengambil kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di bilik kebal SMK Anderson,Ipoh pada hari pertama peperiksaan pada Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pada 526 buah bilik kebal yang menyimpan kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diharap dapat mengelak berlaku kebocoran soalan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah segera untuk memperketat kawalan keselamatan aliran perjalanan kertas soalan SPM telah dilakukan ekoran kejadian kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum ini.

"Ini termasuk cara penyediaan soalan dan sehingga pembungkusan. Jika ada berlaku 'tampering' (diusik) (ia) boleh dikenal pasti," katanya pada sidang media selepas meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kiaramas di sini pada Isnin. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata penghantaran kertas soalanke pusat peperiksaan turut dilakukan dengan bantuan kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Beliau juga memberitahu bahawa persediaan sewajarnya juga telah diambil dinegeri-negeri yang berkemungkinan menghadapi banjir bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan dalam keadaan yang agak sempurna.

Muhyiddin turut mengucapkan selamat maju jaya dan menasihatkan calon supaya bertenang dan tidak berasa gugup semasa menjawab soalan serta mengaplikasi apa yang telah dipelajari di dalam kelas dan kelas tambahan dengan sebaik mungkin. 

Sebanyak 455,839 calon SPM di 3,655 pusat peperiksaan seluruh negara menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu hari ini. |

Daripada jumlah itu, 20 calon merupakan calon berkeperluan khas terencat akal, buta (23), bisu (1), pekak (208), rabun (134), spastik (26) dan lain-lain kecacatan (645). 

Sebanyak 29,607 petugas peperiksaan dan 22,989 pemeriksa terlibat dalam SPM tahun ini yang akan berakhir pada 4 Disember depan. 

Tags / Kata Kunci: SPM , Bilik Kebal , Muhyiddin Yassin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan