TLDM Temui Bangkai Kapal Berlanggar

Diterbitkan: Isnin, 3 November 2014 3:48 PM

Contoh kapal YTC M5.

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Isnin menemui bangkai kapal tunda YTC M5 yang dilaporkan berlanggar dengan sebuah kapal dagang dan tenggelam di perairan Kuantan pada Khamis lepas.

Laksamana Muda Markas Wilayah Laut 1, Datuk Azhari Abdul Rashid berkata kapal jenis hidrografi KD Mutiara berjaya mengesan kedudukan kapal tunda tersebut pada kedalaman 29 meter kira-kira satu batu nautika dari lokasi kejadian.

"KD Mutiara tiba di lokasi kejadian pada 8 pagi Ahad untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat sehingga operasi ditangguhkan pada pukul 5 petang.

"Namun pada pukul 7.30 malam, KD Mutiara berjaya mengesan objek yang disyaki kapal tunda tersebut dengan menggunakan sistem sonar dan berdasarkan analisis imej, didapati ciri-ciri objek itu menyamai kapal tunda YTC M5.

"Operasi diteruskan pagi ini dan pasukan penyelam melakukan penyiasatan terhadap objek yang dikesan dan pada pukul 10.45 pagi Isnin mengesahkan ia adalah kapal tunda yang tenggelam itu," katanya kepada pemberita di jeti pangkalan di sini.

Dalam kejadian itu, enam kru bot tunda itu termasuk seorang warga tempatan hilang selepas bot tunda mereka dilapor dilanggar sebuah kapal dagang di kedudukan 9.1 batu nautika dari Tanjung Gelang dalam perairan Kuantan.

Pada Ahad pasukan polis marin berjaya menemui mayat dua daripada kru itu secara berasingan kira-kira 11 batu nautika dan 11.5 batu nautika dari Tanjung Gelang.

Azhari berkata dengan penemuan bangkai kapal tunda itu, TLDM turut menamatkan penglibatan mereka dalam operasi mencari dan menyelamat hari ini.

Manakala pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan polis marin akan meneruskan usaha pencarian baki kru yang masih belum ditemui.
Tags / Kata Kunci: TLDM , Kuantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan