Apartment Retak Di Pandan Perdana, Penduduk Hidup Ketakutan

Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 2:52 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketika mula-mula membeli satu unit kediaman di Pandan Lake View Apartments di Pandan Perdana pada 2003, Noor Hayati Muda, 40, amat gembira kerana menyangka hajatnya untuk memiliki sebuah rumah impian, akhirnya menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya seketika cuma kerana tidak lama kemudian, beliau dapati kediaman itu mula menghadiahkan kepadanya pelbagai mimpi ngeri.

Kebimbangan mula menghantui dirinya apabila beliau mendapati retakan pada dinding dan lantai di unit paling bawah Blok B pangsapuri lima tingkat itu semakin membesar, manakala air pula kelihatan mengalir ke dalam longkang daripada bahagian bawah blok berkenaan.

Beliau semakin resah apabila ternampak mata air berhampiran pangsapuri itu kerana ia memberi petanda jelas tentang kemungkinan wujudnya air bawah tanah di situ.

Penjawat awam ini memberitahu Bernama bahawa setiap hari, beliau diulit kebimbangan tentang keselamatan dirinya "kerana saya rasa pangsapuri ini seperti senget".

Noor Hayati berkata sebenarnya, ketika mula-mula membeli unit kediaman di situ, beliau perasan tentang kewujudan beberapa retakan, tetapi ejen hartanah memberi jaminan kepadanya bahawa kejadian itu perkara biasa kerana struktur bangunan sedang dalam proses pengukuhan.

"Dia meyakinkan saya bahawa pergerakan akan berakhir selepas beberapa tahun," katanya. Tetapi kini, terdapat rekahan besar antara asas bangunan itu dan tanah.

Noor Hayati berkata memandangkan sebuah bangunan tinggi sedang dibina kira-kira 100 meter dari pangsapuri berkenaan iaitu di tapak bekas Pandan Lake Club, beliau semakin bimbang tentang keselamatan dirinya dan penghuni lain di blok berkenaan.

"Teringat saya kepada tragedi Highland Towers'. Bagaimanapun, berbeza dengan pangsapuri itu, yang dilaporkan tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum ia runtuh, tapi bangunan ini menunjukkan tanda-tanda bahawa sesuatu perlu dilakukan sebelum sudah terlalu lambat," katanya.

Seorang lagi penduduk, Lai Su Foh, 53, berkata retakan juga berlaku pada unit kediamannya.

"Tapi, ia tidaklah seteruk unit yang menghadap tasik. Bagaimanapun, saya tetap bimbang. Saya inginkan kepastian sama ada bangunan ini benar-benar selamat," kata suri rumah itu.

Izani Zainol, 36, pula berkata beliau dapati wujud satu rekahan besar pada bahagian bawah blok itu kira-kira tujuh tahun lepas, yang menjadi tempat tikus berlari keluar-masuk.

"Saya mengemukakan laporan berserta foto kepada LT Sdn Bhd, syarikat yang mengurus pangsapuri ini sebelum ini, sebelum JMB (Lembaga Pengurusan Bersama) memgambil alih, tapi tiada tindakan diambil," kata Izani, yang tinggal di situ bersama isteri dan seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Noor Hayati berkata ketika menyuarakan perkara itu kepada MPAJ, beliau diberitahu bahawa adalah menjadi tanggungjawab JMB untuk mendapatkan khidmat jurutera bagi menentukan sama ada bangunan berkenaan selamat untuk diduduki. MPAJ mengesahkan perkara itu.

"Ya, memang betul. Ketika pangsapuri itu diurus JMBnya, ia menjadi tanggungjawab JMB itu (untuk mendapatkan khidmat juruperunding) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Bangunan dan Hartanah Bersama (Penyenggaran dan Pengurusan) 2007," kata pegawai komunikasi korporat MPAJ Norhayati Ahmad.

Sementara itu, seorang wakil JMB, yang tidak mahu dikenali, berkata JMB tidak mampu mendapatkan khidmat jurutera untuk membuat pemeriksaan terhadap blok bangunan itu kerana ia menghadapi kekangan kewangan.

"Kami baru saja mengambil alih pejabat ini pada 13 Sept lepas daripada JMB sebelum ini, yang dibubarkan setelah anggota utamanya meletak jawatan sebelum tempoh mereka memegang jawatan berakhir awal tahun depan.

"Kami mewarisi kira-kira RM3,000 dalam akaun bank JMB dan hutang lebih kurang RM30,000. Kami sedar masalah yang dihadapi penduduk Blok B dan kami sedang cuba mendapatkan bantuan daripada anggota exco negeri yang bertanggungjawab mengenainya, Iskandar Abdul Samad (perumahan, pengurusan bangunan dan peneroka bandar), serta Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli," katanya kepada Bernama. 


Tags / Kata Kunci: Pandan Perdana , Selangor

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan