Dana Politik: Pemimpin, Parti Telus Lebih Dihormati Rakyat

Diterbitkan: Sabtu, 1 November 2014 12:30 AM

Khairul Anwar Rahmat

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemimpin dan parti politik yang bersikap telus terutama mendedahkan identiti penyumbang serta mengisytiharkan jumlah dana yang diterima akan lebih dihormati dan disegani masyarakat.

Bercakap berdasarkan pengalamannya, Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, ternyata keterbukaan yang diamalkan sejak tahun lalu itu mampu meraih sokongan masyarakat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang menjelaskan, langkah mengisytiharkan dana yang disalurkan ke akaun sayap di peringkat bahagian membuka mata masyarakat mengenai tanggungjawab pemimpin parti.

"Melalui pengisytiharan dana politik, rakyat akan tahu bahawa kita bekerja untuk mereka kerana sememangnya dana itu untuk kita berkhidmat kepada rakyat.

"Proses ini juga memberi manfaat kepada pemimpin politik kerana ada masanya sumbangan yang diterima mungkin RM3,000 tetapi jumlah yang dibelanjakan lebih daripada itu dan keadaan inilah yang melahirkan rasa hormat rakyat kepada pemimpin mereka," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah, Datuk Hisham Nordin mengenai keengganan parti politik mendedahkan penyumbang dana terutama menjelang kempen pilihan raya adalah antara faktor cadangan mewujudkan mekanisme memantau sumber kewangannya masih gagal direalisasikan.

Mekanisme pemantauan yang menetapkan semua dana dimasukkan ke akaun parti, mengemukakan resit rasmi itu bagi memastikan tidak berlaku salah guna kuasa, malahan mengelak pemimpin politik dituduh terbabit dalam perlakuan rasuah.

Kata Khairul Anwar lagi, kesukaran untuk mewujudkan mekanisme itu mungkin kerana pemimpin generasi terdahulu tidak bersedia dan enggan berhadapan isu ketelusan.

"Tetapi pada masa sama, pemimpin generasi sekarang perlu terima hakikat bahawa dengan bersikap telus, kita akan lebih dekat dengan rakyat," katanya yang berhasrat mengemukakan isu dana politik sebagai usul pada Konvensyen Umno Johor yang akan berlangsung pertengahan November ini.

Peguam muda itu juga mengakui proses untuk memastikan pemimpin dan masyarakat mengamalkan politik matang tidak akan berlaku sekelip mata, sebaliknya mengambil masa lama.

"Ia tidak akan berlaku dalam masa dua atau tiga tahun lalu, tetapi mana tahu mungkin dalam tempoh lima atau sepuluh tahun lagi ia menjadi kenyataan," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan keengganan pemimpin politik mendedahkan penyumbang dan dana kerana jumlah yang diterima melebihi daripada yang dibelanjakan untuk parti.

Katanya lagi, adalah sesuatu yang normal untuk parti politik menerima peruntukan kerana ia tidak memiliki pendapatan khusus.

Oleh itu, Khairul Anwar berkata, pemimpin dan parti politik seharusnya lebih telus dan berani berhadapan dengan penyumbang dana kerana sepatutnya perjuangan mereka yang akan menentukan sama ada peruntukan itu akan terus diperoleh atau sebaliknya.

Mengulas isu sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, reformasi menyeluruh dalam bidang politik dapat mewujudkan mekanisme pemantauan dana politik. 

"Isu ini memerlukan reformasi menyeluruh, ketelusan sumbangan dana, had sumbangan dan perbelanjaan, pembiayaan dana awam untuk parti politik.

"Langkah ini juga bagi mantapkan peranan dalam demokrasi dan mengelakkan penglibatan parti politik dalam perniagaan," katanya.

Nik Nazmi yang juga Exco Selangor menambah hanya reformasi menyeluruh pelaksanaan mekanisme itu akan beri kesan.



iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan