Enggan Dedah Penyumbang Punca Mekanisme Pantau Dana Politik Gagal

Diterbitkan: Jumaat, 31 Oktober 2014 12:30 AM

Hisham Nordin

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Keengganan parti politik mendedahkan penyumbang dana terutama menjelang kempen pilihan raya adalah antara faktor cadangan mewujudkan mekanisme memantau sumber kewangannya masih gagal direalisasikan.


Mekanisme pemantauan yang menetapkan semua dana dimasukkan ke akaun parti, mengemukakan resit rasmi itu bagi memastikan tidak berlaku salah guna kuasa, malahan mengelak pemimpin politik dituduh terbabit dalam perlakuan rasuah.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah, Datuk Hisham Nordin berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, kurangnya kerjasama parti politik dalam hal ini juga kerana bimbang berdepan masalah dengan penyumbang dana terbabit.

"Situasi semakin sukar apabila ada penyumbang dana yang menyalurkan peruntukan kepada lebih daripada satu parti malah parti pemerintah dan juga pembangkang turut mendapat manfaat daripada penyumbang sama.

"Dalam hal ini, penyumbang bertindak bijak kerana mereka mahu memastikan hayat mereka panjang," katanya kepada mStar Online.

Hisham berkata, berbeza dengan negara barat di mana identiti penyumbang dana didedahkan dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada operasi syarikat atau individu berkenaan.

"Apabila tiba masa mengemukakan permohonan tender sesuatu projek, walaupun syarikat penyumbang dana politik itu terbabit tetapi penilaian dibuat secara profesional iaitu mengikut keupayaan dan kekuatan syarikat bukan kerana jasanya menyalurkan sumber kewangan kepada parti politik tertentu.

"Oleh itu, tanggapan bahawa hayat politik sebagai talian hayat berniaga tidak harus dibiarkan berterusan kerana selagi dana politik yang juga ibu segala rasuah tidak dibanteras, selagi itulah negara akan dibelenggu masalah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan pemantauan untuk dana politik ini selepas berbincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain pengalaman dan meneliti laporan serta aduan yang diterima suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, cadangan ini masih gagal dilaksanakan hingga timbul saranan supaya mewajibkan parti politik mengisytiharkan sumber dana politk masing-masing dengan mewujudkan peruntukan undang-undang baharu.

















iklan

Kolumnis

iklan

Iklan