Pengasuh Wajib Ada Sijil Kursus Asuhan - Mas Ermieyati

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 9:35 PM

Mas Ermieyati Shamsudin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mewajibkan semua pengasuh sama ada yang berdaftar atau tidak dengan jabatan itu supaya memperoleh sijil penyertaan kursus asuhan kanak-kanak bagi membendung kes penderaan yang sering berlaku sejak akhir-akhir ini.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah mewajibkan kursus tersebut perlu untuk mendidik pengasuh mengenai cara-cara pengurusan dan penjagaan kanak-kanak dengan betul.

Malah, katanya, usaha itu turut membolehkan tindakan undang-undang secara khusus diambil terhadap pengasuh yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, menerusi kursus seumpama itu, ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak kepada pengasuh persendirian akan berasa lebih terjamin dan selamat.

“Kursus itu tidak perlu lama, mungkin untuk tempoh sebulan hingga tiga bulan. Sekarang telah banyak persatuan yang menganjurkan kursus asuhan termasuk di bawah Program Permata Kanak-Kanak.

“Kursus itu amat praktikal untuk pengasuh yang mengasuh kanak-kanak secara persendirian iaitu tidak memiliki taska atau pusat penjagaan berdaftar seperti mengasuh kanak-kanak di rumah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Beliau mengulas insiden terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang kedua-dua tangan serta kakinya diikat oleh pengasuh di Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.

Mas Ermieyati berkata, beliau bukan sahaja kesal dengan insiden tersebut malah sedih melihat kanak-kanak sering menjadi mangsa kepada segelintir pihak yang hanya mementingkan keuntungan sehingga mengetepikan sikap perikemanusiaan.

“Mana-mana ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka, perlu memastikan pengasuh itu mempunyai sijil dan ibu bapa juga harus memainkan peranan dengan membuat pilihan tepat supaya tidak menyesal di kemudian hari,” katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan