Hospital Besut Dinaik Taraf Hospital Berpakar Akhir Tahun Ini

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 6:34 PM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Hospital Daerah Besut akan dinaik taraf sebagai hospital berpakar selepas Hospital Daerah Kemaman dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mohamad Omar berkata UniSZA telah bersetuju untuk menghantar pakar perubatan khususnya dalam bidang kanak-kanak dan ibu bersalin yang sesuai dengan kemudahan yang terdapat di hospital berkenaan.

Katanya Hospital Daerah Besut yang dilengkapi dewan bedah serba lengkap itu telah lama dirancang untuk dinaikkan sebagai hospital berpakar tetapi terpaksa ditangguh kerana Jabatan Kesihatan Terengganu mengalami kekurangan doktor pakar dari kalangan anak tempatan.

"Rancangan untuk menaiktaraf Hospital Daerah Besut tergendala kerana kebanyakan doktor pakar yang ada telah berpindah ke negeri asal menyebabkan usaha untuk menghantar mereka ke hospital tersebut terpaksa tertangguh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Hospital Daerah Besut di perkarangan hospital berkenaan di sini, Khamis.

Menurutnya usaha menaik taraf Hospital daerah Besut terpaksa ditangguh sehinggalah UniSZA menawarkan doktor pakar mereka untuk berkhidmat di hospital berkenaan sebelum akhir tahun ini.

Sehubungan dengan itu beliau meminta lebih ramai doktor yang berkhidmat di hospital-hospital negeri itu supaya menyambung pelajaran dalam bidang kepakaran masing-masing supaya usaha untuk menaik taraf hospital-hospital daerah sebagai hospital berpakar di negeri itu tercapai.

Terdahulu ketika berucap merasmikan karnival kesihatan terdahulu, Dr Mohamad meminta penduduk Terengganu supaya meningkatkan kesedaran masing-masing terhadap penjagaan kesihatan supaya sesuai dengan usaha menjadikan negara ke arah sebuah negara maju pada tahun 2020.

Katanya untuk itu rakyat perlu tahu menjaga dan mengekalkan kesihatan dengan selalu membuat pemeriksaan kesihatan melalui usaha sendiri dan bukan kerana dipaksa.
Tags / Kata Kunci: Hospital Besut , hospital berpakar , UniSZA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan