Undang-Undang Cegah Hasutan Perlu Dikekalkan - TPM

Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 12:33 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Undang-undang bagi mencegah perbuatan menghasut seperti Akta Hasutan 1948 penting untuk dikekalkan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuat kenyataan sehingga mengguris perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sekiranya akta itu perlu dipinda, pindaan yang dibuat mesti memperkukuhkan lagi peranan akta itu dalam melindungi perkara-perkara penting yang termaktub dalam Perlembagaan dan membendung perbuatan menghasut daripada berleluasa.

"Saya menyambut baik pandangan banyak pihak termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang mahukan akta ini diperkemaskan lagi dengan memasukkan peruntukan mengenai agama Islam di dalamnya supaya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak mudah dipersoalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Ke-15 bertemakan Wasatiyyah Asas Perpaduan Ummah di sini, Isnin malam.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Presiden DMDI Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Muhyiddin berkata akta itu juga perlu melindungi agama-agama lain daripada dihina atau dicemuh oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata pengalaman kerajaan mengurus hubungan kaum di Malaysia selama ini menunjukkan kewujudan peruntukan undang-undang komprehensif dalam membendung perbuatan menghasut adalah penting untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan masyarakat negara ini.

"Undang-undang seperti ini adalah satu bentuk mekanisme kawalan yang digunakan sebagai pilihan terakhir apabila terdapat pihak yang membelakangi semangat kompromi dan toleransi antara kaum, yang merupakan asas persefahaman dan perpaduan di negara kita," katanya.

Malah, katanya negara majmuk lain seperti Singapura turut mempunyai undang-undang yang sama dan mereka tidak bercadang memansuhkannya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata pandangan sesetengah pihak bahawa kewujudan undang-undang itu akan menghakis hak kebebasan bersuara, adalah tidak tepat.

"Kita seharusnya bijak dalam meletakkan garis perbezaan antara kebebasan bersuara dan kenyataan yang boleh ditafsir sebagai menghasut.

"Kebebasan bersuara dalam sebuah masyarakat bertamadun seharusnya digunakan untuk mengajak rakyat supaya terus bersatu padu dan hidup dalam suasana yang harmonis, bukan mengeluarkan kenyataan mengguris perasaan masyarakat pelbagai kaum sehingga menyebabkan perbalahan dan perpecahan," katanya.

Muhyiddin berkata prinsip wasatiyyah yang mementingkan keadilan dan keseimbangan dalam hubungan sesama manusia merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Menurutnya penerimaan terhadap kepelbagaian hanya dapat direalisasikan sekiranya masyarakat dapat menghindari sikap yang melampau sama ada dalam amalan agama atau sentimen kaum.

"Malaysia telah mengamalkan prinsip wasatiyyah dalam mengekalkan keharmonian negara sejak sekian lama dengan kesediaan masyarakat untuk bertoleransi dan berkompromi dalam perkara-perkara yang menyentuh tentang kepentingan kaum dan agama.

"Namun, beberapa perkembangan mutakhir yang berlaku di negara kita khususnya yang berkait dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, memerlukan masyarakat di negara kita kembali menghargai dan menghayati semangat toleransi yang wujud sejak sekian lama," kata beliau.

Tags / Kata Kunci: Hasutan , Melaka , Muhyiddin

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan