Anwar Tabik Peserta Rempuh Pagar UM

Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 1:27 AM

Kelihatan kumpulan mahasiswa dan penyokong pembangkang cuba merempuh pagar utama Universiti Malaya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Disebalik tindakan ganas sekumpulan mahasiswa dan penyokong pembangkang merempuh pagar utama Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tabik hormat kepada kumpulan berkenaan.

Malah Ketua Pembangkang itu berkali-kali memuji Presiden Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol di atas tindakan beraninya mengetuai perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti itu.

"Saya salute anak muda kurus ini (Fahmi). Tak mungkin ada perubahan jika tak ada keberanian.

"Anak muda ini berani bertindak dan jadi suara hati nurani rakyat. Ini keputusan yang bijak dan saya salute kepada mahasiswa," katanya yang dilihat merujuk kepada kejayaan perhimpunan yang dihadiri ribuan penyokongnya itu.

Terdahulu kumpulan berkenaan merempuh pintu pagar utama UM yang dikunci atas faktor keselamatan bagi menghalang penganjuran program 'Pidato Anwar: 40 Tahun Dari UM ke Penjara' yang tidak mendapat kelulusan.

Anwar ketika berceramah di Universiti Malaya.
Bagaimanapun Anwar bersama barisan pemimpin politik pembangkang lain akhirnya berjaya memasuki dan berceramah berhampiran Dataran DTC UM beberapa minit selepas rempuhan dibuat.

Selain itu Anwar yang bakal berhadapan prosiding pendengaran rayuan terakhir kes liwat keduanya pada Selasa dan Rabu menggunakan peluang berkenaan untuk mencetuskan gelombang kebangkitan mahasiswa.

Menegaskan bahawa beliau sedia berhadapan sebarang kemungkian termasuk dipenjarakan, Anwar menyeru supaya kumpulan mahasiswa itu mencontohinya kerana berani berhadapan tekanan politik lawan.

"Saya lakukan pengorbanan, saya tak nak anak-anak rasa kecewa. biar saya tumbang.

"Andai kata saya tumbang...anak-anak akan tahu bahawa uncle Anwar pilih untuk kembali dan menghadapi ini," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim , Pidato Anwar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan