IPTA Dapat Kelonggaran Laksana Syarat MUET

Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 6:09 PM

(Ubah saiz teks)

SINTOK: Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diberi kelonggaran untuk melaksanakan syarat baharu kelayakan bagi Malaysian University English Test (MUET), kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata pelaksanaan syarat baharu kelayakan MUET akan tetap diteruskan mulai tahun hadapan namun kelonggaran diberi buat masa ini kerana mengambil kira keadaan semasa iaitu tempoh singkat untuk pelaksanaannya.

"Sebenarnya kenyataan yang dibuat Perdana Menteri pada perbentangan Bajet 2015 yang lalu (mengenai pelaksanaan syarat kelayakan baharu MUET) disambut baik oleh semua universiti.

"Tapi kelonggaran boleh diberi kepada senat (universiti) kerana mengikut akta universiti, senat mempunyai kuasa untuk menentukan kemasukan pelajar, justeru pelaksanaan syarat baharu itu boleh diaplikasikan mengikut keselesaan senat," katanya.

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Dalam perbentangan Bajet 2015 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bermula tahun hadapan, syarat kemasukan am ke IPTA yang mengkehendaki pelajar mencapai tahap minimum Band 1 dalam MUET akan dipertingkatkan bagi meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi bahasa itu.

Tahap minimum baharu Band MUET untuk kemasukan bagi pengajian sastera dan sains sosial ditingkatkan kepada Band 2 (syarat graduasi ditetapkan Band 3); pengajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menjadi Band 3 (syarat graduasi Band 4); manakala Band 4 ditetapkan untuk pengajian undang-undang dan perubatan (syarat graduasi Band 5).

Dalam perkembangan lain, Idris berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Teo Kok Seong yang mendakwa statistik Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menunjukkan seramai 604 peserta kaum Cina dan India langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti mengapakah situasi itu berlaku dan akan menanganinya segera.

"Jika mereka (pelatih) sudah masuk ke dalam sistem sekolah kita, mereka pasti boleh bertutur dan memahami bahasa Melayu dengan baik, tidak akan timbul masalah (tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Melayu," katanya.

Menurut Teo, kajian dibuat dalam kalangan 14,000 pelatih di 79 buah kem seluruh negara pada 2010.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan tenaga pengajar di PLKN tidak dapat menyampaikan modul berkaitan soal kenegaraan dan kerakyatan.

Tags / Kata Kunci: MUET , IPTA , Idris Jusoh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan