Pemeriksaan Ebola Di KLIA, Lapangan Terbang Changi

Diterbitkan: Jumaat, 24 Oktober 2014 7:57 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketika ramai penumpang udara yang mempersoalkan tentang apa yang mereka anggap sebagai 'kelonggaran' dalam usaha menyekat penyebaran virus Ebola, pihak berkuasa Malaysia dan Singapura sebenarnya sedang melakukan sesuatu. 

Pemeriksaan di lapangan terbang kedua-dua negara, mengesahkan perkara ini.

Tetapi banyak langkah untuk mengesan potensi pembawa virus Ebola itu tersembunyi daripada pandangan umum. Ia seolah-olah pihak berkuasa tidak mahu sesiapa pun menyedarinya. 

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebuah 'booth' kecil dapat dilihat berhampiran tiang kaunter Imigresen dengan dua kamera thermographic dihalakan ke laluan pejalan kaki yang bergerak.

Dua pegawai daripada Kementerian Kesihatan sedang memantau penumpang di skrin negatif ungu. Mereka mencari cahaya hijau pada badan penumpang yang menandakan badan penumpang itu bersuhu tinggi dan demam.

"Apabila kita mengesan seseorang yang demam, kita akan mendekati dan mengarahkan penumpang pergi ke kawasan kuarantin untuk pemeriksaan.

"Kami akan bertanyakan beberapa soalan jika mereka telah pergi ke Afrika Barat dalam tempoh tiga minggu terakhir atau jika mereka telah berhubung dengan sesiapa sahaja yang menghidap Ebola," kata salah seorang pegawai.

Beliau berkata booth tersebut dikendalikan sepanjang masa dan sebelum ini telah dijalankan untuk mengesan demam kuning dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).

Ketika ditanya mengenai potensi pembawa Ebola yang tidak menunjukkan tanda-tanda demam memandangkan Ebola biasanya mempunyai tempoh inkubasi sehingga 21 hari, pegawai-pegawai tidak dapat memberikan jawapan.

Wartawan kemudian dibawa ke unit kuarantin yang kelihatan seperti klinik, kira-kira 100 meter dari booth di mana terdapat dua orang doktor di situ.

Tempat tersebut memiliki ruang untuk doktor untuk membuat pemeriksaan dan sebuah lagi bilik yang boleh menampung kira-kira tujuh pesakit pada satu masa.

Unit ini telah mengkuarantin 26 orang untuk demam kuning pada tahun 2013 dan 17 orang dari Januari hingga Mac tahun ini.

Walaupun bunting mengenai MERS dan Ebola serta rak dengan risalah maklumat ditempatkan di sekitar booth pemeriksaan, penumpang yang tiba dan ditemuramah gagal menyedarinya.

Dwight Cosgrove dari Sydney berkata dia tidak tahu bahawa dia telah diperiksa. 

"Saya melalui Imigresen seperti biasa. Tidak ada apa-apa yang berbeza di sana yang membuatkan saya berfikir mereka membuat pemeriksaan Ebola. Bagaimanapun orang-orang Imigresen memakai topeng," katanya.

Seorang pelajar dari Pulau Pinang berkata dia menyedari adanya booth itu tetapi tidak tahu apa fungsinya. 

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat berkata pegawai beliau yang bertugas di pintu masuk telah ditugaskan untuk mengenal pasti mereka yang datang dari negara-negara Afrika Barat yang terjejas dengan wabak ini.

"Kami membantu dalam mengenal pasti penumpang manakala pemeriksaan dilakukan oleh pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan yang mempunyai kepakaran dalam Ebola," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kakitangan kesihatan awam telah menjalankan latihan simulasi untuk mempersiapkan diri mereka untuk kes Ebola yang disahkan di negara ini.

Di Singapura, stesen pemeriksaan dilihat berada di di setiap satu daripada tiga terminal di Lapangan Terbang Changi, tetapi disembunyikan di bawah 'escalator' menuju ke pusat pemeriksaan Imigresen.

Dua hingga tiga sukarelawan dilihat berada di setiap stesen.

Kamera thermographic bagaimanapun tidak dilihat oleh wartawan di lapangan terbang.

Seorang jururawat, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata stesen-stesen telah dibuka selama kira-kira dua minggu lalu dan secara khusus menyasarkan penumpang dengan pasport dari negara-negara yang dilanda Ebola.

Pegawai-pegawai imigresen akan mengarahkan semua penumpang ini ke stesen-stesen di mana mereka akan diperiksa sama ada demam atau tidak dan diberi soal selidik, sama seperti di KLIA, tetapi terdapat beberapa pendatang Afrika Barat, katanya.

Kementerian Kesihatan Singapura dan Lapangan Terbang Changi menjalankan latihan kecemasan untuk kes Ebola pada bulan Ogos.
Tags / Kata Kunci: Ebola , pemeriksaan Ebola , KLIA , Changi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan